malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pameran 'Membayang maksud' imbau nukilan Ismail Zain
ADS

Kreativiti dan hasil seni Allahyarham Ismail Zain, pelukis berbakat yang menjadi perintis seni digital di Malaysia dapat disaksikan menerusi pameran ‘Membayang Maksud’ di Balai Seni Negara yang bermula Ogos sehingga November ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad berkata pameran yang diadakan dengan kerjasama Fergana Art dan Yayasan Maybank itu memaparkan 77 karya catan dan kolaj digital nukilan Ismail.

“Ismail telah mendahului pameran pemikiran zaman dengan penghasilan karya bersifat sezaman dengan penggunaan teknik semburan, stensil dan ‘hard-edge’ yang mana kaedah itu menolak gaya lukisan konvensional mahupun sapuan berus,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pameran itu di Kuala Lumpur, yang disempurnakan oleh bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.

Menurut Amerrudin, sumbangan seni Ismail kini menjadi bahan rujukan dan kajian para pelajar seni lukis dan visual berikutan kebolehan pemikiran seninya yang menongkah arus zaman, dengan Ismail percaya akan peranan budaya dalam penghasilan sesebuah karya.

“Justeru, saya mengajak semua menyaksikan pameran ini dan menjadikan karya pemikiran Ismail sebagai bahan rujukan kerana persoalan yang dibawa Allahyarham berkait rapat dengan isu tradisi dan kemampuannya bertahan dalam dunia moden,” katanya.

Orang ramai berpeluang menyaksikan pameran ini yang telah bermula pada 27 Ogos lepas hingga 17 Nov ini bermula 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Antara hasil nukilan yang dipamerkan bertajuk ‘Cindai’ dihasilkan pada 1988, ‘The Teratai Circuit’, ‘The Marriage of Sultan Mansor Shah’ dan ‘Hanya Dinda Sajalah Untuk Kanda’.

Menurut Amerrudin, sejak pameran diadakan, jumlah pengunjung ke Balai Seni Negara amat memberangsangkan dengan catatan antara 500 hingga 600 pengunjung pada hari minggu berbanding 150 hingga 200 pengunjung pada hari biasa.

Sementara itu, Daim ketika berucap berharap pameran itu memberi nilai tambah kepada bidang seni visual negara dan melahirkan lebih ramai pengkarya yang berwawasan dan berinovasi seperti Ismail.

Ismail yang dilahirkan pada 1930 di Kodiang, Kedah merupakan individu tempatan pertama dilantik sebagai Pengarah Balai Seni Negara (1972-1975) dan beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 1991.

Pernah melanjutkan pendidikan di tiga institusi di United Kingdom sekitar tahun 1953 hingga 1966, seniman digital itu juga pernah dianugerahkan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) pada 1973 dan seterusnya Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) pada 1975.

- Bernama

Lihat Komen