malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Andai dicemuh pun Shima akan tabah
ADS

Asalkan dapat berteduh daripada panas dan hujan, penyanyi Shima rela menghuni kediaman yang disediakan kerajaan melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) bersama suaminya.

Bagi peminat dunia hiburan era 1990-an, nama Shima pernah bersinar gemilang sebagai salah seorang penyanyi rock kondang di negara ini.

Kini terpaksa menjalani hidup yang mencabar sehingga terpaksa dibantu untuk mendapatkan rumah, penyanyi Luka Dilukai itu tetap tabah jika dia dicemuh kerana mendiami rumah murah.

Kata Shima, asalkan dapat menghuni rumah yang sederhana bersama suami, Abdullah Rosli, dia tidak kisah apa pun pandangan dilemparkan masyarakat terhadapnya, malah menganggap dirinya bertuah.

“Alhamdulillah, saya antara orang bertuah. Ramai orang membantu saya mendapatkan rumah ni, sedangkan ada orang lain yang menunggu bertahun-tahun untuk dapat.

“Jadi, saya tak kisah... biarlah orang nak kata apa. Nak kata rumah murah atau tidak, asalkan kami berdua dapat berteduh daripada panas dan hujan cukuplah,” katanya.

Shima ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran rumah PPR di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, hari ini.

Sewa tinggi, bil semasa

Surat berkenaan diserahkan sendiri oleh menterinya, Zuraida Kamaruddin. Turut hadir Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, DJ Dave.

Rumah terletak di Lembah Subang 2, Petaling Jaya itu bukannya percuma. Penghuninya perlu membayar sewa sebanyak RM255 sebulan.

Shima yang turut popular dengan lagu Teringin sebelum ini menyewa sebuah pangsapuri di Damansara Damai, Petaling Jaya, sejak enam tahun lalu dengan kadar sewa bulanan RM600.

Shima, 49, berkata, sewa rumah sebelum ini amat membebankan kerana dia sudah tidak mampu bekerja kesan masalah cakera tulang belakang tergelincir (slipped disc) sejak 2013.

Dia juga berdepan masalah lemah pundi kencing hingga memerlukannya sentiasa memakai lampin pakai buang.

“Bayangkan duit rumah 600, bil-bil lagi, suami pula ada masalah pinggang. Apabila buat pemeriksaan kesihatan, doktor kata saya dah tak boleh bergerak terlalu banyak,” katanya.

Untuk rekod, Shima diberi status asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mengunjungi kediamannya baru-baru ini. Status itu membolehkan Shima menerima bantuan daripada LZS.

Sementara itu, Zuraida berkata, KPKT amat prihatin dengan kebajikan golongan berpendapatan rendah tanpa mengira latar belakang termasuk golongan artis yang memberi sumbangan kepada industri tanah air.

Kata beliau, selaras dengan hasrat tersebut, pihaknya sedia membantu golongan seperti Shima untuk memiliki rumah mampu milik.

“Sudah tiba masanya kita pula hiburkan mereka. Dulu ramai orang kurang ambil berat (aspek kebajikan semasa sedang popular), tapi apabila tiba masa mereka berundur, golongan ni dilupakan dan tak dikenang.

“Usaha ni sebagai langkah permulaan. KPKT juga telah mempertimbangkan 120 nama diserahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional.

“Hanya 19 nama tak dapat diluluskan kerana mereka sudah memiliki rumah dan selebihnya layak sebagai penerima,” katanya. 

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT, Dr Mary Wong Lai Lin dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Dr Alauddin Sidal.

Lihat Komen