malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN BUKU | Seawal kata pengantarnya, Ahmad Lutfi Othman siap-siap memberi peringatan naskhah berkulit merah ini bukanlah untuk membekalkan data, fakta dan analisis keputusan PRU ke-14.

Sebaliknya, Revolusi Tanpa Darah ini hanya mahu mendahulukan “sejarah gemilang tumbangnya BN” tahun lalu.

Oleh itu, jantung buku Revousi Tanpa Darah ini - bagi saya - terletak pada bahagian keduanya, iaitu “Sudut Pandang Lutfi”.

Bahagian ini membawa kita mengintai kehidupan Lutfi, betul-betul pada tempoh sebelum, semasa, dan selepas hari tumbangnya BN pada 9 Mei 2018. Bahagian ini peribadi dan nostalgik.

Ia seakan-akan diari. Bukanlah diari kepunyaan entah siapa-siapa, tetapi ia adalah diari Lutfi, bekas ketua pengarang Harakah, dan bekas anggota PAS, parti yang dipercayai mempunyai anggota paling taat di Malaysia.

Justeru, personaliti yang dikenali dalam dunia kewartawanan itu pastilah pernah menjadi sanjungan orang PAS sebelum ia berubah menjadi manusia yang dibenci mereka gara-gara perubahan politik yang berlaku sejak separuh dekad lalu.

Pengalaman membaca bab-bab di bahagian kedua Revousi Tanpa Darah ini lebih menerbitkan rasa simpati berbanding rasa teruja. Membaca tentang keuzurannya, tentang rawatan dialisisnya, tentang penglihatannya yang terlalu kabur untuk membaca berita menjelang pilihan raya, kelelahannya, dan - kadang-kala - keputusasaannya, membuakkan rasa kasihan.

Roh kepada buku

Dia individu yang berkenalan dengan politik sejak menjadi pelajar, dibuang universiti, menjadi antara petugas terawal akhbar Harakah yang terkenal dengan laporan-laporan menyerang kerajaan BN dahulu. Justeru dia pastilah antara orang yang paling mahu menyaksikan - kalaupun tidak dapat meraikan - tumbangnya BN itu.

Biarpun malam penentuan pada tahun lalu itu dimulai Lutfi dengan hanya tidur di katilnya sehingga jam 10 malam - bagi cuba meredam kesakitan yang dideritainya - sempat juga dia akhirnya mengikuti perkembangan sehingga pengumuman cuti 10 dan 11 Mei dibuat Ketua Setiausaha Negara kira-kira jam 3.30 pagi pada 10 Mei 2018.

Itulah kepuasan kemenangan yang dinantikannya.

“Esok, pagi 10 Mei, pasti pancaran mentari membuka era baru berserta tanggungjawab dan amanah besar membina semula negara” - itu ayat terakhir daripada bab empat dalam bahagian dua buku ini: “24 jam sebelum Umno-BN tumbang”.

Barangkali ayat itulah roh buku ini.

Revolusi Tanpa Darah mempunyai empat bahagian, iaitu Tetamu Ahmad Lutfi (mengandungi 10 bab), Sudut Pandang Lutfi (lapan bab), Penulis Undangan (23 bab), dan Lampiran (mengandungi 12 bab).

Daripada semua helaian buku, ayat itulah barangkali mengandungi segala hasrat dan tujuan Lutfi ketika menyiapkan buku ini. Lutfi hanya mahu berkongsi pengalamannya menunggu, menerima, dan mengenang-ngenang persitiwa yang baginya cukup keramat itu.

Namun, harus juga diingatkan, ketika membaca Revousi Tanpa Darah, anda mungkin rasa amat tertangguh menantikan tibanya bahagian perkongsian pengalaman Lutfi itu.

Hal itu kerana pembaca perlu merempuhi bahagian pertama terlebih dahulu yang dirasakan agak melemaskan.

Pada kata pengatar, Lutfi menyatakan dia mahu buku tersebut menjadi catatan santai, bacaan ringan, dan hadiah kecil kepada semua pihak yang bertungkus-lumus merealisasikan pertukaran kerajaan untuk kali pertama di negara ini.

Namun, bahagian pertama menyanggahi semua yang Lutfi janjikan pada awal bukunya.

Bahagian tersebut - yang ditulis dalam bentuk wawancara - dibarisi banyak doktor dan profesor. Bukanlah ia bacaan yang tidak baik. Cuma, pertama, ia tidak bersifat santai; kedua, ia tidak ringan, dan ketiga, ia terasa seperti hadiah yang terlalu besar (yang terpaksa diterima). Dan sedikit membosankan.

Masing-masing ada pengalaman

Bahagian ini dirasakan agak canggung sebagai bahagian pembuka, apatah lagi kedudukannya betul-betul selepas kata pengantar yang menjanjikan bacaan yang lebih bersifat mengenang-ngenang dan tidak berat.

Lagi pula, tokoh-tokoh tersebut, nama mereka memang tidak asing lagi berkomentar di surat-surat khabar. Justeru pandangan yang dilontarkan mereka kurang segar dan terasa sudah banyak kali didengar.

Ia adalah seperti membaca surat khabar yang dikitar dan dijilid semula menjadi naskhah buku.

Atau boleh jadi saya yang bias kerana tidak gemar membaca wawancara yang disusun berturut-turut, sehingga 90 muka surat tebalnya.

Bahagian Penulis Undangan menawarkan kandungan yang tidak kurang menarik, menghimpunkan wartawan, editor, kartunis, kolumnis, penganalisis politik, aktivis dan ahli politik. Masing-masing berkongsi pengalaman pilihan raya dan juga pendapat masing-masing mengenai pilihan raya.

Dan jangan pandang rendah pada bahagian akhir. Biarpun hanya dinamakan “Lampiran”, ia mampu memberi kejutan dengan penulisan yang lazat, juga ditulis oleh kelompok seperti di bahagian ketiga.

Daripada perkongsian hampir 40 penulis (dan orang yang diwawancara) itu, terdapat beberapa perkara menonjol yang menarik perhatian.

Antaranya nama Mahathir yang kerap timbul dengan ketara, dijolok sebagai faktor kemenangan PH dalam PRU lalu.


Baca Membebaskan media, minda sama sukar sama sunyi


Lagi yang ketara, dalam perkongsian peribadi Lutfi, tidak dapat disembunyikan perasaan pahit manis dan suka benci dia dengan PAS.

Ia boleh difahami, sementelah Lutfi pula bukan setahun dua walak bersama PAS sebelum akhirnya bercerai, dan terpaksa berseteru pula.

Mungkin sebab itu, perkongsian pengalaman dalam tulisan mengenang-ngenang oleh Lutfi ini terasa mahal.

Ada satu tulisan yang sangat menarik, oleh novelis Jepun Tsumugu Hashimoto pada bab tujuh di bahagian akhir buku ini yang disiarkan lebih dua minggu selepas PRU di The Star.

Hashimoto membandingkan kemenangan PH di Malaysia dengan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) pada pilihan raya umum negara itu pada 2009.

“Saya percaya akhirnya [...] DPJ akan memperkenalkan beberapa langkah yang sebelum ini diabaikan LDP cukup lama. [...] Tetapi sedih, ia hanya delusi. Apa yang kami lihat selepas pilihan raya, berlaku perbalahan tidak berkesudahan dalam DPJ.

“Wakil rakyat yang kami pilih begitu cepat terlibat dengan perbalahan dalam, lagi dan lagi. [...] Ramai rakyat Jepun rasa tertipu dan dikhinati dan natijahnya, DPJ kalah teruk pada pilihan raya berikutnya.

“DPJ malah tidak wujud lagi sekarang, larut seperti gula dalam air. Begitu jugalah harapan kami untuk memiliki masa depan lebih baik. [...] LDP kembali berkuasa dan kini nampaknya bersedia untuk memerintah sampai bila-bila.

“Jadi saya cemburu kepada anda rakyat Malaysia. [...] Bersabarlah rakyat Malaysia. Jangan buat kesilapan seperti yang dilakukan oleh negara saya."

Menarik, kerana ia seperti amaran - atau ramalan.

Apa pun gerangannya, ia wajar dibaca oleh semua pemimpin PH sebagai peringatan. Atau ia nanti akan menjadi pengajaran yang sangat mahal.

  • Judul: Revolusi Tanpa Darah
  • Penulis: Ahmad Lutfi Othman
  • Tebal: 408 muka surat
  • Harga: RM40

Lihat Komen