malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Saajan, isteri muda yang derita dan kekalutan Zakir Naik
ADS

ULASAN | Entah mengapa kita selalu gemar meromantiskan hal-hal ganas kebencian antara kaum, bangsa serta dakwah kebenaran. Sedangkan tradisi budaya kita kaya dengan kasih sayang dan percintaan.

Pada 27 Ogos 1969 - dalam Persidangan Antarabangsa Drama Tradisional dan Muzik Asia Tenggara pertama yang diadakan di Universiti Malaya - Tunku Abdul Rahman Putra ada berkata dalam ucapannya: "Kita biasanya terlupa bahawa, selain daripada hidup di atas muka bumi ini, manusia itu juga hidup bermasyarakat dan masyarakat tersebut memiliki budaya.

"Hanya dengan mempunyai budaya manusia di atas muka bumi ini berupaya ditadbir serta memiliki kehidupan yang lebih bermakna. Muzik dan drama adalah dua daripada sekian banyak manifestasi penting budaya. Ianya penting kerana kedua-duanya mewakili ekspresi yang berasal daripada kekuasaan seni kreativiti manusia.”

Apa kata kita lupakan sejenak segala macam peristiwa duka yang membelah perpaduan kita sehingga menjadi rekah yang menunggu binasa.

Lupakan hal Dong Zong yang enggan menerima enam - dan kini hanya tiga - halaman Jawi dalam sukatan pelajaran di sekolah Cina. Lupakan tentang saranan Teo Nie Ching untuk berhenti membina lebih banyak tembok bangsa. Lupakan tentang analogi porno Wong Shu Qi tentang Jawi serta tinggalkan kedangkalan Asyraf Wajdi dengan kunco-kunconya yang tengah sedap berkeliling negara menangguk di air keruh.

Entah kenapa kita percaya Islam itu dapat dihormatkan dengan cara menyambut seorang televangelist sambil melaung-laung takbir ke arah dia di atas kereta bagai seorang ulama maharaja.

Punca duka lara perpaduan

Apa jenis keuntungan politik perpaduan atau kesucian dakwah yang kita damba daripada sikap meleceh dan memperkecilkan kepercayaan lain yang diambil sebagai agama.

Andainya ada seorang lagi taikun tua yang lancang berkata kononnya tentera kita tak berbuat apa-apa selain makan dan tidur saja, percayalah yang mereka ini semua sedang kesedihan akibat kekurangan kasih sayang dalam keluarga hingga hilang tatasusila sebagai manusia yang berbudaya.

Sebuah negara sebenarnya tidak ubah laksana satu keluarga dan setiap kita - yang bergelar warganegara - adalah bersaudara.

Manusia yang tempang selalunya datang daripada keluarga yang tidak bahagia. Kerana selalu merasa ragu akan hak, kekayaan dan harta yang dikumpul daripada titik peluhnya akan mengenyangkan mereka yang dia tak pernah dirasa sebagai saudara atau ahli keluarganya.

Itulah punca duka lara perpaduan kita.

Ada benarnya kata A Kadir Jasin bahawa ada isu yang lebih utama daripada seorang Zakir Naik atau segala titik-bengik isu kepentingan bangsa dan kepercayaan agama yang merugikan Malaysia sebagai sebuah negara.

Bank Negara Malaysia melalui laporan perkembangan ekonomi dan kewangan negara bagi suku tahun kedua tahun ini telah mencatatkan penyusutan berturut-turut nilai ringgit. Malah kita semua bakal berdepan dengan kadar inflasi yang dijangka akan mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi.

Walaupun laporan itu menyebutkan peningkatan lebih kukuh dengan kadar pertumbuhan KDNK yang kian mengukuh, namun ia ketara tidak dapat dirasai oleh kumpulan menengah dan rendah yang selama ini terus menerus bergelut untuk mencukupkan keperluan hidup mereka.

Isu gaji dan masalah pendapatan isi rumah yang masih rendah serta perihal jutaan peneroka, ribuan pekebun kecil, penanam padi, peniaga kecil, nelayan dan penduduk PPRT masih tidak sungguh-sungguh diperjuangkan sesiapa kerana kita semua sibuk saling prejudis atas nama kelangsungan ketuanan bangsa dan kehebatan beragama.

Sementara politikus kita pula lebih berminat bercerita tentang keagungan ketua dan parti mereka sahaja di Parlimen.

Di luar konteks

Kita terlupa akan apa yang pernah dikata Tunku Abdul Rahman tentang kepentingan dan kekuasaan seni dan budaya terhadap masyarakat Malaysia.

Sehingga tak semena-mena kita jadi manusia yang enggan mengiktiraf kekuatan kreativiti manusia untuk melihat Melayu, India dan Cina sebagai suatu keluarga Malaysia yang ada ketersendirian dalam tradisi dan budaya berbangsa, beragama dan bernegara.

Di kala ada seorang bekas perdana menteri Malaysia sedang diadili mahkamah kerana kepintarannya menguruskan wang agar dia dan isterinya dapat berbelanja ikut selera, kita pula memilih untuk menjadi cauvinis paling gila.

Di India, ada satu sosok yang lebih bermakna berbanding Zakir Naik yang konon kenyataan ceramahnya difahami di luar konteks makna.

Saajan Fernandes namanya.

Saajan Fernandes adalah watak utama bagi sebuah filem berjudul The Lunchbox. Filem arahan Ritesh Batra yang diterbitkan pada 2013 oleh beberapa syarikat dari India, Perancis, Amerika Syarikat dan Jerman itu mengisahkan tentang bagaimana tradisi dan budaya “Dabbawala” yang wujud sejak tahun 1890 di India telah menemukan Saajan - seorang akauntan yang menunggu masa bersara - dengan Ila, seorang isteri muda yang sengsara jiwa gara-gara diabaikan suaminya.

“Dabbawala” sebenarnya adalah satu sistem pengaturan bekalan makanan tengah hari berskala raksasa.

Ia dimulai dengan pengambilan di rumah dan restoran - dengan menggunakan basikal dan kereta api - untuk dihantar kepada seluruh warga kerja di serata India, khususnya di Mumbai.

Dijadikan cerita, bekalan makan tengah hari kiriman Ila - yang sedang berusaha mahu menyuburkan semula hubungan kelam dengan suaminya - ditakdirkan sampai ke meja Saajan.

Tidak seperti suaminya, Saajan sangat menghargai dan suka dengan masakan yang disediakan Ila.

Mereka yang sedar dengan kesilapan itu mula mengenal dan saling berutus surat. Kesepian dan kesedihan Ila jadi terisi dengan surat-surat yang diselitkan dalam hidangan mangkuk tingkat sambil berkongsi rasa dan cerita hingga membibitkan cinta.

Indahnya adalah apabila Saajan tidak sedikit pun cuba menangguk di air keruh - persis aksi Asyraf Wajdi atau yang lain-lain - dengan tindakan yang mampu membinasakan Ila dan keluarganya.

Saajan lelaki istimewa kerana dia menjaga kehormatan Ila sebagai isteri muda jelita yang sengsara dicurangi suaminya. Saajan tidak semberono menerima apa sahaja yang ada disekelilingnya kerana dia setia pada tradisi dan budaya yang mengerti adat bangsa, adab agama dan budaya dinegaranya.

Drama cinta sebeginilah yang sepatutnya memelodikan muzik bahagia buat negara kita. Kerana melalui kekuasaan seni kreativiti manusia sebegini akan membuat kita tidak hanya terhibur tapi akan berfikir tentang banyak perkara.

Sebagaimana dikatakan Tunku Abdul Rahman pada 1969, drama dan muzik yang mampu membina manusia dan negara dari budaya.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen