malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Opie berkarya berhati-hati, takut lepas tidur tubuh 'kejung'
ADS

Pengarah dan pelakon, Opie Zami, sedar bukan mudah untuknya memperoleh keuntungan besar hanya dengan naskhah filem atau drama bersifat didaktik yang menebal.

Sebaliknya, Opie bersikukuh mahu menggalas tanggungjawab tersebut dengan berpegang kepada amanah allahyarham bapanya, Zami Ismail, dan pada masa sama berharap perkongsian maklumat itu membawa manfaat bersama.

Menurut Opie, dia sentiasa ingat akan nasihat bapanya bahawa berkarya usah terlalu bersandarkan kepada matlamat mencari keuntungan duniawi dan hiburan semata-mata.

“Arwah abah pesan, berkaryalah dengan sesuatu manfaat yang boleh dikongsikan pada penonton. Jangan hasilkan sesuatu untuk hanya menghibur saja, tapi selitkan ilmu," katanya.

Justeru pesanan itu membuat Opie selalu berhati-hati. Tambahan pula dia tahu, ajal maut boleh menjengah tiba-tiba.

"Saya seboleh-bolehnya tak nak buat kerja-kerja membawa unsur negatif, takut nanti, lepas tidur tiba-tiba kejung (kaku), macam mana?" katanya.

Opie atau nama sebenarnya Mohd Saufi Zami ditemui pada majlis pratonton filem terbaru arahannya, Warkah, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kelmarin.

Ramai belum sedar

Untuk rekod, Zami yang merupakan pelakon dan pelawak terkenal meninggal dunia pada usia 67 di Institut Jantung Negara. Beliau mengalami serangan jantung pada 2011.

Kata Opie, pesanan arwah bapanya tidak sukar untuk dituruti kerana secara kebetulan dia juga mempunyai kecenderungan yang sama dalam seni.

Pelakon siri Spanar Jaya itu menambah alasan itu juga yang membuka hatinya untuk menerima tawaran menjadi pengarah Warkah, sebuah naskhah yang menerapkan kesedaran mengenai pentingnya seseorang mencarum di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Saya lebih tertumpu pada apa yang boleh dikongsikan," katanya.

Warkah diinspirasikan daripada kisah benar, dan dibarisi pelakon seperti Namron, Mohd Syazwan Zulkifli, Mohd Wafiy Ilhan Johan, Puteri Rayyana Rayqa dan Isyariana Che Azmi.

Ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara mulai 15 Ogos ini.

Ia berkisahkan kehidupan seorang pelajar cemerlang bernama Ikmal - watak dilakonkan Wafiy - yang terpaksa berdepan rintangan selepas bapanya (Namron) mengalami kemalangan.

Sementara itu, ditanya tahap kesedaran karyawan filem terhadap perlindungan Perkeso, Opie menjawab: “Masih ramai yang belum.”

Katanya, Perkeso pernah memberi cadangan agar karyawan dikumpulkan bagi memudahkan agensi kerajaan itu memberi penjelasan mengenai keperluan mencarum.

Bagaimanapun, dakwanya, hal itu belum boleh dijayakan ekoran terdapat mentaliti segelitir pihak yang sukar diubah.

Lihat Komen