malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Faizal Tahir mengaku tak lagi penuh stamina
ADS

Sebaik mengumumkan album fizikal terakhirnya yang kelima berjudul Rojak, ramai mula membuat spekulasi Faizal Tahir mahu bersara daripada bidang nyanyian yang sudah diceburi sejak sekian lama.

Sebaliknya, Faizal berkata, dia cuma ingin memperlahankan aktiviti nyanyian bagi menumpukan perhatian pada beberapa perkara yang didapati banyak terlepas pandang sebelum ini.

Dalam mengambil keputusan itu, Faizal, 40, juga mengambil kira faktor usia yang membuatkan dia berasa kurang yakin dengan stamina yang ada padanya terutama setiap kali untuk mengadakan sesebuah persembahan.

"Sejujurnya saya ingin beritahu sudah lama berasa tak yakin dengan tahap kecergasan dan kesihatan sendiri.

"Saya bukan seperti Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip atau Anuar Zain.

"Stamina dah berkurangan. Sekarang ni nak nyanyi empat atau lima lagu pun letih, suara hilang, dah tak macam muda-muda dulu.

"Dalam erti kata lain, sudah tua," katanya.

Faizal ditemui pada majlis pengumuman Rojak di ibu pejabat Warner Music, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Ahmad Faizal Mohammad Tahir itu berharap peminat dapat memahami selain memaafkannya ekoran terpaksa berundur setapak daripada apa yang biasa dilakukan sebelum ini dalam bidang tersebut.

"Harap mereka boleh faham. Memang ada yang tetap kata saya masih boleh lagi setakat nak nyanyi dua, tiga lagu.

"Kalau nak saya buat konsert macam Dayang Nurfaizah tu mungkin agak khuatir sedikit, takut kena siap sediakan paramedik nanti," ujarnya berseloroh.

Bagaimanapun, penyanyi Ragaman itu tidak menolak rezeki sekiranya ada pihak sudi menghulurkan tawaran menarik berserta penajaan bagi mengadakan sesebuah konsert malah berjanji untuk cuba memberikan yang terbaik.

"Saya tak tunggu. Tapi kalau ada pihak berminat nak berikan sejumlah nilai yang bagus, saya akan usaha tak kisahlah kalau perlu jalani aktiviti kecergasan hingga sebulan," katanya.

Sementara itu, Faizal akan meneruskan kegiatan amal dan kemanusiaan yang memang sudah beberapa kali disertainya sebelum ini, termasuk di luar negara.

Selain itu, dia juga akan menumpukan perhatian terhadap penghasilan lagu untuk penyanyi lain dan mengeluarkan single sendiri sekiranya perlu.

Lihat Komen