malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit dakwa babak ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ dimanipulasi
Diterbitkan:  Aug 5, 2019 5:05 PM
Dikemaskini: 9:05 AM
ADS

Penerbit Demi Tuhan Aku Bersaksi, Fadzil Zahari mendakwa ada pihak memanipulasi penyebaran babak-babak tertentu menyebabkan telefilem itu seolah-olah membawa unsur negatif.

Fadzil, 35, berkata, hal itu menyebabkan orang ramai terpengaruh dengan maklumat tidak betul disampaikan oleh pihak yang menulis berkaitan telefilem tersebut.

Malah, suami kepada pelakon Yana Samsudin itu juga menyifatkan segala tuduhan berkait penceritaan telefilem tersebut merupakan fitnah semata-mata.

“Setiap apa mereka katakan mengenai telefilem ini adalah tidak betul. Mereka hanya ambil maklumat daripada individu yang menulis salah mengenai naskhah tu.

“Ia sama sekali tidak seperti digembar-gemburkan. Babak tu memang ada cuma cara cerita disampaikan pada orang ramai amat mengelirukan,” katanya.

Demi Tuhan Aku Bersaksi berkisahkan seorang mak nyah - watak dijayakan pelakon Syafie Naswip - cuba kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat dan mendalami ilmu agama.

Namun, sejak beberapa hari lalu, naskah mengundang perhatian itu menerima respons negatif sebaik iklan acah dan sinopsisnya disiarkan.

Antaranya daripada Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman yang berkata, paparan watak songsang hanya mencemarkan imej institusi tahfiz.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Kesihatan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad pula mempertikaikan keperluan drama itu menyorot institusi tahfiz manakala pemimpin PAS Riduan Mohd Nor menyifatkan drama tersebut sebagai sampah yang mengangkat isu “persemburitan dalam kalangan institusi tahfiz.”

Namun, kata adik kepada aktor Farid Kamil itu berkata, sudah tentu sebagai penganut agama Islam, dia amat menghormati sensitiviti agama dan sentiasa peka dengan perkara yang boleh mencetus kemarahan orang ramai.

“Saya tengok kandungan cerita ni tak bercanggah dengan agama Islam seperti digembar-gemburkan pihak di luar sana.

“Kami juga beragama Islam, kami tahulah kandungan seperti apa yang akan menentang Islam.

“Sudah tentu telefilem ni bertujuan menyampaikan sesuatu yang positif dan mendidik penonton,” katanya dipetik Mstar.

Fadzil Zahari  dan Yana Samsudin

Fadzil atau nama penuhnya Fadzil Bahri Zahari juga memaklumkan, pihaknya akan menyiasat dan mencari dalang di sebalik penyebaran fitnah telefilem tersebut yang dijangka ditayangkan pada bulan depan.

“Individu berkenaan hanya ambil salah satu daripada babak di mana kami juga berasa sangsi bagaimana ia boleh tersebar,” katanya.

Menurutnya, berbanding stesen TV lain, RTM antara yang paling ketat dengan peraturan, maka soal kredibiliti panel-panel di situ tidak harus dipertikaikan.

“Apabila telefilem ni sudah diluluskan, ia bermakna sudah tentu melalui panel-panel berkenaan.

“Kami berharap mereka tak tarik balik telefilem tu kerana hanya pihak produksi saja tahu apa kandungan sebenar telefilem ni,” katanya.

Lihat Komen