malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
RTM digesa berunding sebelum tayang Demi Tuhan Aku Bersaksi
Diterbitkan:  Aug 5, 2019 2:37 PM
Dikemaskini: 7:14 AM
ADS

Radio Televisyen Malaysia (RTM) digesa segera membuka pintu rundingan dan bertukar-tukar pendapat dengan pihak sewajarnya sebelum menyiarkan telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi buat tontonan umum.

Jawatankuasa Bertindak NGO Pendidikan Islam berkata, saranan itu dibuat ekoran wujudnya pihak tertentu yang cenderung memburuk-burukkan institusi dan agama Islam.

“Kesucian Islam sebagai agama persekutuan perlu dijaga kukuh, sebarang unsur yang boleh menjejaskan kesucian Islam dan nilainya perlu ditegah.

“Justeru, sesuai dengan semangat musyawarrah dan tabayyun dituntut Islam, besarlah harapan kami jika pihak penerbit RTM dapat bermuzakarah demi kepentingan umat Islam di negara ini,” kata NGO terbabit dalam satu kenyataan.

Terdahulu, promosi iklan acah (teaser) Demi Tuhan Aku Bersaksi dan sinopsis telefilem tersebut mengundang pelbagai persepsi dan tanggapan umum selepas ia menjadi tular.

Pertikaian timbul ekoran telefilem arahan Eyra Rahman yang diterbitkan Prokuya Studios - milik Fadzil Zahari - itu disifatkan seolah-olah menyindir sekolah tahfiz.

Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman pula berkata, RTM perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebelum menyiarkan drama berkenaan.

Kata beliau, isu berkait lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di pusat tahfiz didakwa boleh merosakkan imej institusi itu, sekolah agama dan institusi Islam secara menyeluruh. 

Bagaimanapun, RTM tampil mempertahankan telefilem berkenaan dengan berkata, isi kandungan Demi Tuhan Aku Bersaksi tiada niat memaparkan sisi negatif pusat tahfiz, sebaliknya sarat mesej berguna yang boleh dijadikan pengajaran oleh masyarakat.

NGO terbabit turut mendesak Prokuya Studios dan RTM mengadakan satu sesi tayangan untuk dinilai pihak berkepentingan bagi meredakan keresahan disuarakan masyarakat sebelum ini.

“Sebelum nasi jadi bubur, kami minta satu sesi pratonton diadakan bersama pihak berkepentingan seperti Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Jakim dan NGO Islam seperti kami sebelum telemovie tersebut disiarkan pada umum,” menurut kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, badan tersebut dianggotai Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia, Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangir, Persatuan Pengguna Islam, Institutsi Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia, Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah Ummah Malaysia dan Persatuan Ayahanda Penyatuan Insan Malaysia.

Sementara itu, penerbit yang ingin menghasilkan sesuatu karya atas nama Islam diseru untuk merujuk terlebih dahulu tokoh agamawan dan institusi yang bertanggungjawab.

“Ini supaya tidak mendatangkan keresahan masyarakat. Telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi mungkin mempunyai niat dan misi yang baik.

“Tapi, niat dan misi yang baik saja tidak cukup jika jalan cerita, pemaparan watak dan elemen terkandung dalam filem melanggar batas batas dibenarkan oleh hukum syarak dan bersifat menghina agama dan nilai masyarakat,” menurut kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen