malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mufti: Telemovie tampil isu LGBT rosak imej tahfiz
Diterbitkan:  Aug 4, 2019 6:16 PM
Dikemaskini: 10:37 AM
ADS

Telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi yang menampilkan isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di pusat tahfiz merosakkan imej institusi itu, sekolah agama dan institusi Islam, kata Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman.

Sinar Harian memetik mufti Pahang berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebelum menyiarkan drama itu.

"Telemovie itu hanya merosakkan imej maahad tahfiz, sekolah agama dan institusi Islam. Sedangkan kita ketahui kes-kes yang dilaporkan berlaku di tahfiz adalah kes terpencil.

"Tahfiz adalah tempat anak-anak belajar menghafal al-Quran.

"Kitab suci ini tidak boleh dihafal melainkan orang yang bersih hatinya. Bagaimana boleh mengatakan budak-budak tahfiz yang menghafal al-Quran melakukan LGBT?" katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian juga melaporkan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Kesihatan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad mempertikaikan drama itu yang menyorot institusi tahfiz.

"Apabila pusat-pusat pengajian ini dipandang serong, sedikit sebanyak ia akan terpaut kepada aktiviti serta pengisiannya sekali iaitu al-Quran.

"Kenapa mesti drama ini terfokus kepada tahfiz? Kenapa dengan sekadar sedikit maklumat pengetahuan kita tentang hal ini sudah mendorong untuk jadikannya tema untuk filem, padahal banyak lagi hal yang lebih wajar diberi fokus," kata Syed Ibrahim (gambar).

Terdahulu hari ini, RTM tampil memberikan penjelasan dan mempertahankan drama berkenaan.

Menurut Pegawai Perhubungan Media RTM Nurhaninah Ayub, isi kandungan drama Demi Tuhan Aku Bersaksi tidak berniat memaparkan sisi negatif pusat tahfiz, sebaliknya sarat mesej berguna yang boleh dijadikan pengajaran oleh masyarakat.

“Drama ini sarat dengan mesej yang bagus dan memberitahu kepada masyarakat isu realiti memang berlaku dalam masyarakat kita.

“Sebenarnya ia terpulang kepada individu yang akan menonton drama ini. Kalau mereka memandang mesej yang disampaikan secara positif, maka ia menjadi pengajaran.

“Andai kata sebaliknya berlaku, rugilah mereka kerana mesej yang berguna dianggap negatif,” katanya.

Drama tersebut mengisahkan tentang seorang maknyah yang ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali bertaubat serta mendalami ilmu agama.

Dalam drama tersebut watak maknyah yang dilakonkan oleh Syafie Naswip membuat keputusan masuk ke pusat tahfiz. Namun, ketika di pusat tahfiz, dia dihina dan dikeji sebagai pengikut Kaum Luth.

Selain mendapat mendapat kecaman daripada warganet, drama ini turut dikritik pemimpin PAS Riduan Mohd Nor yang menyifatkan drama tersebut sebagai drama sampah yang didakwanya seperti mengangkat isu "persemburitan yang berlaku di institusi tahfiz".

Lihat Komen