malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Gempita Sastera martabatkan karya Sasterawan Negara di pentas teater
ADS

Bagi memartabatkan karya Sasterawan Negara, Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani Events) akan bekerjasama dengan Persatuan Teater dan Seni (Pentas) Selangor untuk menganjurkan acara Gempita Sastera - Sasterawan Negara 2019.

Acara itu akan mengangkat karya daripada tujuh orang Sasterawan Negara untuk dipersembahkan dalam bentuk teater.

Kata Pengarah Stefani Events, Fauziah Nawi, dia mempunyai impian yang besar untuk menjadikan acara itu wadah yang dapat mengangkat karya Sasterawan Negara ke tempat yang tinggi.

"Memang rancangan kita sangat besar. Persembahan bukan sahaja di auditorium yang besar, tapi orang yang masuk saja ke kawasan itu, mereka akan dapat berasakan adanya satu pesta besar-besaran yang mengangkat Sasterawan Negara.

“Jadi setiap malam, sesiapa pun penonton yang datang, mereka akan didedahkan dengan beberapa persembahan di luar dewan sebelum masuk ke dewan besar.

“Maknanya di sini, ini juga memberi ruang kepada semua persatuan untuk sama-sama dengan kami. Walaupun (berada) di luar, pengisian juga sangat penting untuk pergi kepada yang di pentas di dalam,” katanya.

Fauziah berkata demikian dalam sidang media prapelancaran acara itu di Stefani Studio di Ampang.

Sasterawan Negara yang dipilih untuk diangkat karya-karya mereka dalam pementasan teater ialah Baha Zain (Topeng-topeng), Zurinah Hassan (Menghadap ke Pelabuhan), Ahmad Kamal Abdullah/ Kemala (Meditasi), Muhammad Hj Salleh (Selamat Pulang, Juita), A Samad Said (Daerah Zeni), Anwar Ridhwan (Orang-orang Kecil) dan Noordin Hassan (Jangan Bunuh Rama-rama).

Kumpulan teater yang akan terlibat dalam pementasan itu nanti ialah Stefani Events, Pentas Selangor, Ceritera, Tronoh Theatre Shop, Teater Hidayah, Teater Melayu Subang, dan Alumni Artis Penjuru Alam.

Tak pernah menyerah

Teater itu akan dipersembahkan selama tujuh hari berturut-turut- satu teater untuk setiap hari- dijangkakan bermula 7 hingga 13 Oktober 2019, dan mengikut perancangannya dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dan di Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Ketika meletakkan sasaran untuk mengumpul dana sebanyak RM260,000 untuk menjayakan pementasan tersebut, Fauziah Nawi mengakui kesukaran yang harus didepani penggiat teater untuk mencari penaja.

Meskipun mengakui projek itu mungkin terpaksa ditangguhkan jika tidak mendapat tajaan mencukupi, Fauziah tetap meluahkan keyakinannya: “Tiada yang mustahil, saya tak pernah menyerah kalah”.

“Orang teater sentiasa sukar mendapatkan tajaan. Kita sedang cuba mendapatkan pelepasan cukai (untuk penaja) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, untuk memudahkan dan menyebabkan lebih ramai hendak taja.

“Macam Stefani, walaupun syarikat kami kecil, tapi kami sentiasa cuba dapatkan tajaan. Biasanya saya buat drama dan filem, duit itulah yang menaja persembahan atau projek daripada Stefani.

“Saya sangat yakin kita boleh dapat (tajaan mencukupi). Boleh dapat,” katanya lagi.

Sidang media itu turut dihadiri penggiat seni veteran, Kamaruzzaman Ibrahim serta Pengerusi Pentas Selangor, Khusiary Mahayudin.

Acara itu turut diselangi dengan deklamasi sajak Jangan Berduka Malaysiaku nukilan Kemala oleh Kamaruzzaman, serta nyanyian lagu Kasih yang diinspirasi daripada puisi Usman Awang, dinyanyikan sendiri oleh Fauziah Nawi bersama Iryandy Mulia Ramly.

Harga bayaran masuk untuk menyaksikan pementasan itu akan diumumkan kemudian.

Sementara itu, disoal pemberita mengenai pemilihan karya tujuh daripada 13 orang Sasterawan Negara dalam Gempita-Sastera, Kamaruzzaman menjelaskan pemilihan itu dibuat memandangkan ketujuh-tujuh yang dipilih adalah sasterawan yang masih hidup.

“Tujuh orang ini adalah Sasterawan Negara yang masih bernafas. Kita tak berniat nak membelakangkan yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita. Mungkin yang ini boleh mendekatkan dengan karya mereka yang telah meninggal.

“Saya harap rakan-rakan teater dan rakan-rakan seni tanah air, dapat bergabung tenaga agar Gempita-Sastera menjadi satu hal yang besar,” katanya lagi.

Untuk rekod, selain tujuh Sasterawan Negara ini, enam lagi telah meninggal dunia, iaitu: Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Shahnon Ahmad, Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati), Abdullah Hussain, dan Syed Othman Syed Omar (S Othman Kelantan).

Lihat Komen