malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Khai Bahar: Orang tak tegur kita tak tahu mana silap
ADS

Bebas menjadi diri sendiri merupakan sikap diambil penyanyi popular, Khai Bahar, agar tidak cepat melatah apabila dirinya mula didakwa tidak matang oleh segelintir pihak.

Bagi Khai, komen sedemikian sedikit pun tidak menjejaskan pendekatannya ketika melayan ragam peminat atau sesiapa yang berada di sekelilingnya.

Katanya, dia tidak kisah sekiranya ada orang beranggapan perangainya seperti kebudak-budakan kerana itu lebih baik daripada dilihat sombong dan tidak mudah didekati.

“Terpulang kepada mereka yang menilai.

"Mungkin sewaktu bersama peminat atau di mana-mana saja, orang melihat sifat kebudak-budakan saya begitu menyerlah.

“Tujuan sebenar saya begitu adalah agar orang di sekeliling berasa selesa dan tak mengata saya sombong.

“Seboleh-bolehnya saya mahu gembirakan semua orang yang mengenali saya,” katanya.

Anggap belum sempurna

Mengulas lanjut, pemilik nama penuh Muhammad Khairul Baharuddin itu berkata, dia sebenarnya seorang yang bersahaja.

“Bukan sayalah kalau nak tunjuk lagak macam abang-abang sangat. Saya juga bukan seorang yang formal tapi lebih suka bersantai,” katanya.

Khai ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Air Mata di Bandar Utama, Petaling Jaya kelmarin.

Penyanyi itu - yang bakatnya menjadi tular melalui aplikasi Smule - juga mengakui, dirinya masih belum cukup sempurna terutama dalam aspek berkomunikasi.

“Banyak yang masih perlu saya pelajari walaupun sudah tiga tahun berkecimpung secara rasmi sebagai penyanyi.

“Saya anggap ni semua teguran yang membina kerana masih belum sempurna. Kalau orang tak tegur, saya tak akan tahu di mana silap,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan Air Mata, Khai, 25, berkata album berkenaan memuatkan 11 lagu - termasuk dua lagu hit Bayang dan Luluh - yang melalui proses penyempurnaannya kurang setahun.

Khai berkata, dia bersyukur kerana syarikat NAR Records Sdn Bhd - yang pernah menaunginya sebelum ini - masih terbuka membantu dia menjayakan pelancaran album berkenaan.

“Alhamdulillah, dengan majlis diadakan, album ni dapat dihadiahkan buat peminat yang sering mengimpikan album pertama daripada saya,” katanya.

Untuk rekod, Air Mata sudah terjual lebih 4,000 unit sejak mula diedarkan 21 Julai lalu.

Lihat Komen