malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Padu Bossku UNIC bukan lagu bermotif politik
Diterbitkan:  Aug 1, 2019 10:03 PM
Dikemaskini: 2:03 PM
ADS

Kumpulan nasyid UNIC menjelaskan lagu terbaru mereka, Padu Bossku, memang tidak ada kaitan dengan mana-mana ahli politik, sebaliknya diilhamkan daripada perwatakan Rasulullah SAW.

Pencipta lagu berkenaan, Harry, berkata berkata idea untuk menghasilkan irama lagu berkenaan serta penggunaan ungkapan "bossku" itu datang daripada kelaziman orang Sabah bercakap.

“Saya sudah hasilkan lagu ini pada dua tahun lalu dan ideanya datang daripada penggunaan perkataan bossku oleh penduduk Sabah.

“Jadi, apabila ada netizen menganggap lagu ini ada kaitan dengan ahli politik, itu tidak benar,” kata pemain gitar kumpulan Khalifah itu seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Lagu Padu Bossku adalah hasil ciptaan Harry dan liriknya pula oleh Achoi Floor 88.

Lagu tersebut juga mencapai 665,000 tontonan sejak dimuat naik di YouTube sebulan lalu.

Tambah Harry, perkataan "bossku" juga tidak digunakan untuk meraih populariti atau mengambil kesempatan terhadap mana-mana situasi sekarang.

“Saya tidak hasilkan lagu ini untuk menumpang populariti sesiapa atau apa-apa situasi.

"Kebetulan, lagu ini kami keluarkan selepas perkataan bossku mula diguna pakai oleh banyak pihak.

“Maka orang menganggap lagu ini adalah untuk tumpang populariti,” katanya.

Promosi baju oleh penyokong pembangkang dalam PRK Semenyih baru-baru ini

Untuk rekod, ungkapan "bossku" bukanlah aneh kepada orang ramai terutama dalam kalangan penduduk Sabah.

Namun ia mendapat 'wajah' baru apabila digunakan bekas perdana menteri, Najib Razak, untuk meraih sokongan dan minat masyarakat terhadapnya.

Kempen "Malu Apa Bossku" juga menunjukkan hasil yang diingin pembangkang apabila mereka berjaya memenangi tiga pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan selepas PRU ke-14 lalu.

Namun daripada jumlah itu, lima PRK lain kekal dimenangi PH.

Sebelum ini, lagu-lagu UNIC lebih terarah kepada nasyid semata-mata, namun kini kumpulan itu lebih berani untuk mendalami pelbagai genre muzik.

Mengakui peralihan itu membawa risiko, salah seorang penyanyi UNIC, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, berkata mereka berasa tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Risiko untuk peminat lari itu tetap ada. Namun, ia perkara biasa dalam industri, ada yang suka dan akan sebaliknya.

“Sebagai pemuzik kami menghormati pandangan mereka. Apa yang kami buat ini adalah mahu tampilkan sesuatu yang baru dan lebih segar,” katanya.

Lihat Komen