malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Eizlan teguh pendirian mahu polis minta maaf
Diterbitkan:  Jul 19, 2019 9:08 PM
Dikemaskini: 1:08 PM
ADS

Eizlan Yusof teguh dengan pendiriannya yang mahukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permohonan maaf berhubung penafian kemalangan membabitkan anaknya pada 11 Julai lalu.

Pelakon dan penerbit itu tetap meneruskan gesaannya walaupun PDRM sudah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan berlaku kekeliruan dalam siasatan awal kejadian itu, semalam.

Kata Eizlan, dia akan terus menunggu hingga tamat tempoh diberikan iaitu 31 Julai ini sebelum berbincang dengan peguam bagi mengambil langkah selanjutnya.

“Walaupun mereka sudah mengeluarkan kenyataan dan membuktikan bahawa apa yang saya katakan sebelum ini adalah benar, tetapi permohonan maaf daripada mereka masih belum dibuat.

“Jadi, saya akan tetap menunggu sehingga hujung bulan ini untuk langkah seterusnya,” katanya dipetik Harian Metro.

Pada 16 Julai lalu, Malaysiakini menyiarkan Eizlan, 48, membuat satu sidang media khas meminta PDRM memohon maaf atas kekhilafan berlaku bertujuan menjaga maruah anaknya serta keluarga.

Katanya pada ketika itu, dia tidak mahu isu terbabit memberi kesan negatif selain tidak mahu anaknya digelar sebagai penipu apabila dewasa ekoran membuat kenyataan tidak benar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Lim Chee Khoon mengesahkan anak Eizlan, Zareef Idris Yusof, 9, terbabit dengan kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam.

Katanya, kekeliruan berlaku ketika polis memberikan hasil siasatan awal kepada media mengenai kemalangan terbabit tanpa meletakkan nama anak keduanya itu.

Menurut Lim, kenyataan awal itu dibuat sebagai memberi maklum balas kepada pihak media dan siasatan ketika itu belum selesai.

“Waktu itu, polis masih dalam proses mengambil keterangan daripada saksi terbabit dan saksi kemalangan.

“Namun, selepas siasatan lengkap polis mendapati seorang kanak-kanak bernama Zareef Idris Yusof, 9, sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam yang kemudian dikenal pasti sebagai anak pelakon terbabit,” katanya.

Pada masa sama, Eizlan berkata, dia memberikan ruang kepada polis berikutan baru saja memenangi anugerah Asian Most Promising Actor Award di Festival Filem Art Chunsa ke-24 di Seoul, Korea Selatan, semalam.

“Saya tidak mahu merosakkan ‘mood’ saya mengenai perkara ini kerana baru saja memenangi anugerah semalam,” katanya.

Lihat Komen