malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Chef Wan ancam tindakan undang-undang pada portal
ADS

Redzuawan Ismail atau Chef Wan berkata mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal berita yang didakwanya menjadi "batu api" berhubung kenyataannya berkaitan Felda baru-baru ini.

Beliau merujuk sebuah portal yang membuat tinjauan sama ada dia perlu memulangkan Anugerah Tokoh Ikon Felda 2019 yang diterima minggu lalu.

Katanya, beliau telah memberi penjelasan tentang kenyataannya kepada beberapa media.

"Saya akan dapatkan nasihat perundangan untuk menyaman portal itu kerana mengapi-apikan isu ini, walaupun saya sudah jelaskan kebenarannya.

"Sekarang mereka macam batu api pula," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Chef Wan mendakwa segelintir peneroka Felda malas untuk memajukan tanah dan mengubah keadaan sendiri, sebaliknya berharap kepada bantuan kerajaan.

“Ada subsidi baja pun dijual. Dapat duit lebih gatal boleh kahwin dua, tiga bini lagi dan beranak-pinak macam kucing,” katanya pada hantaran di media sosial yang kini sudah diturunkan.

Beliau juga berkata melihat pelbagai masalah dihadapi penduduk Felda sepanjang beberapa tahun memberi ceramah ketika dilantik sebagai ikon Felda sebelum ini.

Ramai pihak yang merasakan kritikan itu sebagai keterlaluan dan mengundang perhatian bekas perdana menteri Najib Razak.

Selasa lalu, cef selebriti itu berkata kenyataan itu disalah tafsir dan bersedia untuk memulangkan anugerah berkenaan tetapi hasratnya itu ditolak pengurusan Felda.

Dalam pada itu, Chef Wan berkata beliau sudah meminta maaf kepada pihak berkaitan ekoran kenyataannya.

"Saya juga jumpa pengerusi dan ketua pengarah Felda, mereka setuju dengan teguran saya cuma (rasa) apabila saya kata seperti itu, ia diperbesarkan...sedangkan saya tak tuju kepada semua," katanya lagi.

Lihat Komen