malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Fasha: Terima kasih Allah tumpangkan anak syurga
Diterbitkan:  Jun 10, 2019 12:36 PM
Dikemaskini: 4:36 AM
ADS

Fasha Sandha akur terpaksa menelan kenyataan pahit apabila impiannya untuk kembali menimang cahaya mata tidak kesampaian.

Pelakon itu yang tidak dapat menahan kesedihan memaklumkan melalui akaun Instagram miliknya bahawa kandungannya mengalami keguguran mungkin akibat dia mengabaikan nasihat doktor.

Katanya, dia banyak melakukan pergerakan dan kurang berehat ekoran menyediakan persiapan raya.

“Sebelum cuti beraya, doktor dah pesan untuk banyakkan berehat, jangan terlalu lasak-lasak.

“Ibu tak dengar cakap doktor untuk jangan banyak bergerak masa raya ni, ibu naik turun keretapi, naik turun kapal terbang, jalan laju-laju , buat kerja sampai selalu terlupa ada anak kecil dalam perut ibu.

“Ibu terlalu aktif sampai lupa kandungan awal ibu perlukan ibu banyak berehat,” katanya.

Selain peminat, kata-kata Fasha itu juga ditujukan buat suami, Aidil Aziz dan dua anaknya Putra Rayfal Ramli, 5 dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Dengan penuh kekesalan, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu turut memohon maaf kepada mereka bertiga.

“Ibu minta maaf suamiku tercinta, Rayfal dan Jemyma sayang. Ibu tau ibu bukanlah ibu yang terbaik,” katanya.

Fasha sebelum ini memberi kejutan pada Aidil dengan mengumumkan kehamilannya pada 21 Mei lalu.

Pelakon drama Patah Sayap Bertongkat Paruh itu berharap semoga peminat mendoakan dia dan keluarganya diberi kekuatan untuk mengharungi ujian tersebut.

“Doakan supaya kami kuat dalam melalui ujian ini.

“@itsaidilaziz kita teruskan berdoa dan usaha, semoga kita ada rezeki lagi di masa akan datang. Insya-Allah kita akan lebih kuat #aidilfasha

“Terima kasih Allah kerana telah menumpangkan ‘anak Syurga’ ini dalam rahimku, walaupun hanya untuk seketika,” katanya.

Fasha mendirikan rumah tangga dengan Aidil pada 30 Mac lalu. Ia merupakan perkahwinannya yang kedua.

Sebelum ini, Fasha pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2002 tetapi kemudian bercerai pada 20 Januari 2016.

Lihat Komen