malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
To'ki cedera ditikam penyamun
Diterbitkan:  Jun 10, 2019 10:09 AM
Dikemaskini: 3:53 AM
ADS

Mohd Zaki Mansur atau lebih dikenali sebagai To’ki dirawat selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kesan ditikam sekumpulan lelaki dipercayai dalam cubaan samun di Taman Daya, Kepong.

Dalam kejadian malam kelmarin itu To'ki berkata dia dalam perjalanan pulang selepas membeli perkakasan melukis di Selayang Mall.

Katanya dia bersendirian menunggang motosikal apabila tiga lelaki menaiki dua motosikal menahannya di satu selekoh.

"Mereka cuba menghimpit saya ke tepi jalan sebelum menahan saya.

"Kemudian salah seorang lelaki terbabit mengugut supaya saya menyerahkan wang dan barang berharga," katanya seperti dipetik Sinar Online.

Penyanyi Selumbar itu berkata seorang daripada mereka tiba-tiba bertindak agresif dengan menikam tangan kirinya.

"Saya terus rebah sebelum dibantu orang awam yang membawa saya ke HKL," katanya.

Menurut laporan berkenaan selepas menjalani pembedahan dan rawatan susulan penyanyi berusia 52 tahun dari Kedah itu mendakwa kesihatannya bertambah baik.

Sementara itu To'ki menerima ziarah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez, yang mahu melihat keadaannya dari dekat.

"Nasib dia (To'ki) tidak baik. Apa pun syukur dia selamat dibedah dan semoga dia cepat sembuh serta kembali aktif kerana buat masa ini dia terlibat dalam persembahan mingguan di beberapa tempat.

"Saya harap kerjaya seninya disambung. Sekiranya kita boleh bantu, kita akan laksanakan. Kita akan pantau dari segi pemulihan kesihatan dan kerjayanya," kata Freddie.

Lihat Komen