malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Usop waspada layan kerenah peminat
ADS

Selepas memenangi tempat kedua program realiti Mentor Milenia 2017, Usop mengaku kehidupannya banyak berubah.

Katanya, sebagai seorang penghibur, gerak-gerinya sering menjadi perhatian masyarakat.

"Bila balik kampung berhari raya terutamanya, ramai yang akan memanggil nama saya 'Usop, Usop.'

"Dulu sebelum popular biasa-biasa saja. Tapi sekarang kehidupan berubah 95 peratus," katanya yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, katanya, dia perlu sentiasa berwaspada terutama ketika melayan kerenah peminat.

"Nak buat apa saja semua orang ingin ambil tahu. Saya kena sentiasa berhati-hati," katanya.

Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd Noor berkata, antara paling ditakuti sekiranya ada peminat yang meminta dia membuat sebarang panggilan video.

Namun, kata penyanyi lagu Aku Yang Bersalah itu, dia enggan melayan permintaan sedemikian bagi mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.

"Sejujurnya saya tak akan layan jika ada yang meminta panggilan video.

"Dulu tak ada teknologi macam zaman sekarang.

"Hari ni orang tu yang kena (kaitkan dengan video lucah) esok lusa siapa tahu kita pun boleh terkena," katanya.

Menjelaskan pendiriannya itu, Usop berkata, dia mengambil langkah berjaga-jaga kerana tidak mahu menconteng arang ke muka keluarganya.

"Saya ambil iktibar daripada orang-orang yang saya kenal tak kisah siapa saja yang berkecimpung dalam dunia seni ni.

"Saya ada keluarga. Kalau ada benda tak elok terjadi, boleh datangkan malu pada satu keluarga," katanya.

Lihat Komen