malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jangan musnahkan hutan kerana trend raya - Maya Karin
ADS

Pelakon dan aktivis alam sekitar, Maya Karin kesal dengan tindakan segelintir peniaga yang mengaut keuntungan dengan menjual lemang dari periuk kera - spesis yang kini dianggap terancam.

Katanya, trend tersebut tidak harus diikuti kerana hanya akan menjejaskan habitat semulajadi.

“Saya minta jangan ikut trend ini, sebab periuk kera tu sangat susah nak dijumpai dan hanya ada di hutan.

“Sebab ia pokok yang menolong habitat lain untuk hidup, itu ironinya. Itu yang saya marah sekarang,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Rumah Warisan di Kuala Lumpur.

Maya sebelum itu melawat tapak Bazar Ramadan bagi mengagihkan 2,500 beg mesra alam bertulisan 'Aku tak nak plastik’ dan bekas makanan kepada pengunjung bazar Ramadan sebagai salah satu kempen ‘kempen hijau Ramadan’.

Pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu juga berkata, setiap tahun banyak hutan ditebang, dan jika trend mencari periuk kera diteruskan ia akan hanya memusnahkan tumbuhan berkenaan di negara ini.

“Kita dah kehilangan hutan tapi disebabkan trend raya, kita buat begini.

“Banyak treasure (harta karun) dalam hutan ni, bukan hanya bunga tapi ubat-ubat yang pengkaji boleh jumpa di masa akan datang tapi kita dah tebang dan musnahkan.

“Sekarang pula disebabkan trend ada pula lemang periuk kera. Jika kita tidak tebang pokok kita akan ada lebih pokok dan juga ada periuk kera,” katanya.

Baru-baru ini, seorang peguam dan juga Pengerusi Persatuan Pencinta Alam cawangan Negeri Pahang, Jehan Bakar berkongsi maklumat mengenai periuk kera kepada orang ramai di Facebook.

Beliau berkata, ramai orang tidak tahu bahawa tumbuhan jenis nepenthes macrophylla ini telah tersenarai dalam International Union For Conservation Of Nature (IUCN) sebagai spesis yang terancam.

Justeru, aktres berusia 39 tahun menggesa peniaga lemang periuk kera agar berhenti berbuat demikian.

“Saya tak terlalu positif (peniaga akan henti jual). Tapi saya minta dan saya harap peniaga jangan buat.

“Susah ya, tapi saya harap mereka faham dari apa yang saya terangkan.

“Banyak orang tak tahu, sebab mereka fikir ia cool, memang nampak cantik tapi mungkin kita kena reka periuk kera yang tidak asli kalau mereka (peniaga) nak sangat hiasan,” katanya.

Lihat Komen