malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ashton cuak jadi saksi kes Hollywood Ripper
Diterbitkan:  May 30, 2019 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM
ADS

Pelakon AS Ashton Kutcher mendedahkan bahawa dia sangat ketakutan selepas mengetahui wanita yang pernah dihubunginya untuk satu temu janji ditemui mati di Hollywood.

Bekas pelakon Two and a Half Men itu memberitahu perkara tersebut di hadapan juri ketika dipanggil memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan bersiri melibatkan seorang lelaki digelar 'Hollywood Ripper'.

Lelaki terbabit didakwa atas tuduhan membunuh wanita berkenaan dan dua yang lain, lapor Reuters.

Bekas suami aktres Demi Moore itu berkata, dia tiba di kediaman pelajar fesyen yang terletak di Hollywood pada malam 22 Februari 2001 selepas bercakap melalui telefon sebelum itu untuk mengatur temu janji.

Bagaimanapun, apabila Kutcher tiba di sana dua jam selepas panggilan dibuat, dia mendapati lampu terbuka dan pintu ruma mangsa berkunci.

Kutcher, 41, kemudian memandang melalui luar tingkap dan menyangka apa dilihatnya adalah wine merah yang tertumpah di atas karpet.

"Saya tidak berfikir panjang mengenainya," katanya.

Dia berkata "saya fikir sudah mernsia-siakan peluang itu kerana lambat tiba."

Kutcher juga berpendapat pada waktu itu Ellerin pasti sudah keluar dengan rakannya.

Menurut pendakwa, Ellerin, 22, ditemui mati di kediamannya oleh rakan sebilik pada pagi keesokan harinya dengan luka tikaman sebanyak 47 kali.

Kutcher menjelaskan kepada polis bahawa dia berasa bimbang kerana cap jarinya berada di pintu depan rumah mangsa.

Michael Gargiulo kini dibicarakan di Mahkamah Los Angeles atas dakwaan membunuh Ellerin dan dua lagi wanita lain serta cubaan membunuh seorang lagi.

Gargiulo, 43, yang ditahan pada 2008 mengaku tidak bersalahm

Kejadian itu berlaku ketika nama Kutcher sedang meningkat naik pada 2001 kerana membintangi siri komedi That 70's Show.

Selepas 10 tahun, Kutcher berlakon dalam komedi hit Two and Half Men.

Pada 2005, Kutcher berkahwin dengan Demi tetapi bercerai lapan tahun kemudian.

Kutcher kini berkahwin dengan aktres Mila Kunis - pelakon gandingannya dalam That 70's Show - dan pasangan itu memiliki dua anak.

Lihat Komen