malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
PU Abu kesal cerita lama anak murid dakwa dibuli diungkit
Diterbitkan:  May 30, 2019 12:58 PM
Dikemaskini: 4:58 AM
ADS

Peserta program Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan Muhammad Mokhtar Rozaidi terkilan isu bekas anak murid yang didakwa dibuli tiga tahun lalu dibangkitkan semula.

Justeru, Abu bercadang untuk memanfaatkan perayaan Aidilfitri untuk bemaaf-maafan serta menziarahi bekas pelajarnya itu serta keluarganya.

“Insya-Allah, sekiranya ada kesempatan, saya akan menziarahi keluarga bekas anak murid ini,” katanya dipetik Harian Metro.

Bagi membersihkan namanya, Abu berkata, dia perlu berkongsi cerita penuh supaya tidak berat sebelah.

“Perkara itu berlaku tiga tahun lalu. Saya bukan nak berlagak sebagai mangsa, tetapi cuma nak kongsi cerita penuh supaya tidak berat sebelah.

“Lagi pula, ketika kejadian yang dikatakan saya membuli kanak-kanak itu berlaku, ibunya tidak berada di sekolah,” katanya.

Jelas Abu lagi, kejadian itu hanyalah gurauan semata-mata antara seorang guru dengan anak muridnya.

“Saya bergurau dengan anak murid dan peluk dia. Kemudian, saya berikan wang kepadanya kerana selepas itu adalah waktu rehat.

“Akmal pun ketika itu bergelak ketawa dengan saya dan nampak gembira seperti biasa. Saya tak nampak pula dia menangis atau apa,” katanya.

Abu juga menjelaskan bahawa keesokan harinya, dia sudah memohon maaf dengan keluarga kanak-kanak itu yang hadir ke sekolah bertemu dengan pihak pengurusan.

“Keesokan harinya, keluarganya datang ke sekolah. Di dalam bilik guru, mereka marah dan malu dengan tindakan saya. Saya jelaskan kepada mereka dan memohon maaf.

“Selepas itu, saya anggap isu itu dah selesai. Saya pun tidak lagi bergurau dengan Akmal selepas itu sementara murid lain boleh menerima gurauan saya,” katanya.

Pada masa sama, Abu berkata, dia amat terkilan dengan tindakan ibu kanak-kanak tersebut ekoran berkongsi kisah lama itu di media sosial ketika namanya dihimpit kemelut rumah tangga.

Abu mengesyaki ada sebab tersembunyi yang menyebabkan kisah lama itu dibangkitkan semula.

“Ketika nama saya tular kerana isu rumah tangga, isu lama itu dibangkitkan semula oleh ibu kanak-kanak itu dan saya anggap ada udang di sebalik batu,” katanya.

April lalu, seorang ibu memuat naik hantaran di Facebook menceritakan bagaimana pengalaman pahit anaknya diaibkan dalam kelas akibat berbadan gemuk.

Isu itu pula muncul ketika Abu sedang menjadi tumpuan media susulan tindakannya menceraikan isterinya yang sedang sarat mengandung.

Lihat Komen