malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Karya tempatan terlalu lama selesa di takuk sama'
ADS

Meskipun Kuih Bangkit, filem pendek dihasilkan sempena raya menampilkan salah satu wataknya membunuh diri, produksi Malam Filem berharap penonton dapat menilai karya tersebut secara terbuka dan positif.

Kata pengarah Ikram Daud, sikap cepat menjatuh hukum boleh menjejaskan mutu dan gaya sesebuah filem tempatan kerana ia menyebabkan kebanyakan pembikin filem terikat untuk membuat karya semata-mata untuk memenuhi cita rasa rakyat tempatan.

“Janganlah kita bersikap terlalu menghakimi dan terburu-buru.

"Karya tempatan sudah terlalu lama selesa di takuk yang sama, ia tidak seperti di negara-negara yang lain,” katanya menerusi aplikasi pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Ikram berkata dia sedia maklum dengan setiap pandangan dilontarkan umum termasuk perkara-perkara negatif.

"Sesi soal jawab dengan jari jemari ini takkan habis. Cara lembut kita kena, cara keras pun akan kena," katanya merujuk kepada warganet yang mengecam naskah diilhamkannya itu.

Justeru, sebagai pengkarya katanya, mereka mempunyai hak untuk menyalurkan kreativiti melalui cara yang diyakini sesuai.

"Kami pengkarya juga ada hak untuk bersuara dengan pendirian tetap," katanya.

Dijayakan pelakon Akmal Ahmad, Farah Ahmad dan Hairi Safwan, filem berdurasi 8.41 minit itu memaparkan kesudahan tragis menimpa sebuah keluarga.

Ia mengangkat permasalahan yang melingkari kehidupan seperti keluarga bergolak, kemurungan serta kekurangan adab terhadap golongan lebih tua.

Kisah tiga beranak itu berakhir dengan kematian selepas watak utamanya, Azam (Akmal) menggali mayat ibunya selain mencabut nyawa sendiri.

Disifatkan sebagai filem raya paling seram, ia setakat ini telah meraih lebih 55,000 tontonan di Youtube dan mengundang pelbagai reaksi.

Antara yang mengkritik menyatakan, babak membunuh diri mencemarkan sambutan Aidilfitri.

Tidak kurang juga yang beranggapan idea Ikram merupakan sesuatu yang baru.

Mengulas idea diketengahkan, Ikram, 29, berkata, niat mereka sekadar memberi peringatan kepada pelaku bahawa membunuh diri bukan jalan penyelesaian yang terbaik.

“Apa cuba dipaparkan adalah realiti yang boleh terjadi pada mana-mana keluarga.

“Kami juga tidak berniat langsung sama sekali untuk menyentuh mana-mana sensitiviti agama mahupun bangsa.

“Saya amat yakin Kuih Bangkit mampu membuka mata dengan mesej positif,” katanya yang bakal menerbitkan penghujung Kuih Bangkit pada masa akan datang.

Lihat Komen