malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Wan Maimunah sedih dikecam lepas mengaku sedia disunting
Diterbitkan:  May 28, 2019 9:52 PM
Dikemaskini: 1:52 PM
ADS

Pelakon veteran Wan Maimunah mengaku emosinya terjejas susulan kecaman dilemparkan warganet berikutan sebuah artikel menyiarkan dirinya yang sudah bersedia disunting orang.

Aktres yang terkenal dengan watak air mata itu menggesa agar orang ramai membuang sikap hanya gemar membaca tajuk, sebaliknya memahami isi kandungan yang cuba disampaikan.

“Sedih baca komen-komen mereka...(seharusnya mereka) bukan melihat tajuk tapi bacalah isinya,” katanya di akaun Instagram miliknya.

Terdahulu, BH Online memetik Wan Maimunah sebagai berkata, dia tidak pernah menutup pintu hati malah bersedia menjadi isteri sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh suatu hari nanti.

Bagaimanapun, Wan Maimunah menjelaskan, pada usianya yang mencecah 62 tahun ketika ini, niatnya untuk berkahwin bukan lagi untuk memenuhi nafsu sebaliknya lebih kepada mencari imam.

Wan Maimunah turut menetapkan beberapa syarat, seperti perkahwinan hanya akan diteruskan sekiranya anak bakal pasangan bersetuju.

Perkahwinan terakhir Wan Maimunah sebelum ini dengan pengusaha makanan dari Johor pada Disember 2013 sempat bertahan dua tahun sebelum mereka berpisah.

Pada masa sama, Wan Maimunah berkata, hidupnya tidak pernah sunyi apabila dikelilingi anak selain ingin memberi tumpuan kepada aktiviti menggandakan ibadat.

Sementara itu, hasil semakan Malaysiakini di akaun media sosial Wan Maimunah sendiri, ramai kalangan peminat memberikan sokongan selain bersikap positif terhadap hasratnya itu.

“Ibu jangan baca komen netizen ya, macam-macam ragam manusia yang beri komen, kalau baik hati mereka, baiklah komennya kalau tak baik hati mereka tak baiklah komennya.

“Ibu fokus pada anak mereka yang ada aura positif dan hati baik saja ya,” kata pengguna akaun @cammisaboutique.

Seorang lagi pengguna akaun @Faizol Anuar berkata, pengguna Internet perlu sentiasa beringat sebelum memberi komen supaya tidak mendapat dosa percuma.

“Yang mana komen menghina, ingatlah anda sedang memberi pahala percuma kepadanya, dan anda mendapat dosa percuma serta mulut anda juga lagi teruk dari bisikan syaitan, kan syaitan dah kena ikat, renung-renungkanlah,” katanya.

Lihat Komen