malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hanya sakit bila persembahan, Hael terkena buatan orang?
ADS

Selain peti suara terjejas, Hael Husaini mendedahkan dia turut mengalami demam tanpa mengetahui puncanya.

Lebih pelik, kata penyanyi dan komposer itu, kejadian yang sudah berlanjutan selama beberapa bulan itu hanya berlaku ketika dia diminta memenuhi undangan satu-satu persembahan.

Menurutnya lagi, badannya yang mengalami demam pula akan pulih seperti biasa pada hari selepas persembahan itu dijadualkan.

“Peti suara terjejas, ia menyukarkan saya untuk menyanyi. Saya juga demam di mana hari ini saya perlu membuat persembahan. Biasanya kalau demam, esok akan pulih.

“Perkara ini berlanjutan sebelum saya buat persembahan untuk majlis Anugerah Meletop Era tahun ni.

“Saya sudah berjumpa doktor, namun setakat ni mereka tak dapat mengenal pasti punca apa jatuh sakit,” katanya.

Hael ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Rocketfuel Entertainment di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Ditanya sama ada dia mengesyaki ada pihak cuba menjatuhkannya dengan menghantar ilmu hitam, Hael menjelaskan bahawa dia lebih selesa untuk bersikap positif.

“Saya susah nak percaya perkara sebegitu,” kata penyanyi lagu Jampi itu.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi itu berkata, dia akan mempertimbangkan rawatan alternatif sekiranya sudah merujuk pakar dan masih belum berjumpa jalan penyelesaian.

“Memang ada desakan daripada orang sekeliling yang minta saya cuba rawatan alternatif perubatan Islam, mungkin tak salah untuk saya mencuba,” katanya.

Disebabkan kesihatannya terjejas, Hael, 31, mengaku dia terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan antaranya stereoid untuk mengurangkan kesakitan dialami.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga mendedahkan disebabkan pengambilan ubat, berat badannya meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini.

“Muka kelihatan seperti membengkak, berat saya pula naik 10 kilogram setiap seminggu. Saya sudah tak makan nasi lebih seminggu.

“Saya harap dapat kembali seperti dulu, seperti Hael yang boleh menyanyi,” katanya.

Lihat Komen