malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Heliza terus berdoa untuk Palestin
ADS

Meskipun tidak berpeluang menjalankan misi kemanusiaan di bumi Gaza Ramadan ini, penyanyi Heliza Helmi terus memanjatkan doa agar bantuan berterusan dihulurkan bagi meringankan penderitaan ditempuhi penduduk Palestin.

Dia yang sepatutnya menjalankan misi ke sana pada 3 Mei lalu berasa hiba terutama apabila mengenangkan situasi perlu didepani penduduk di Semenanjung Gaza ketika ini.

“Bila ingat keseronokan kita di sini terkenang warga Palestin yang terpaksa berbuka puasa di celah-celah runtuhan bangunan rumah mereka.

“Saya doakan agar sesiapa yang terbabit aktiviti kemanusiaan dapat rezeki untuk pergi ke sana dan menghulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di Istana Budaya.

Rejim Zionis membedil sempadan Gaza dalam serangan terbaru pada 5 Mei lalu dengan melancarkan serangan udara bertubi-tubi sebagai membalas serangan roket pejuang Palestin sebelum itu. 

Dalam kejadian itu, 19 rakyat Palestin terkorban, manakala empat lagi warga Israel terbunuh dalam serangan roket.

Dua kali ke Gaza

Heliza yang pernah ke Gaza sebanyak dua kali sebelum ini berkata, penduduk Palestin diibaratkan seperti sebuah keluarga buatnya.

Justeru, tidak sukar bagi dirinya untuk menyelami perasaan dan penderitaan yang perlu didepani mereka.

“Rasa mereka macam keluarga dan adik-beradik kita.

“Tak kira sama ada Ramadan atau tak, kita doakan tidak lagi berlaku peperangan kerana begitu sakit bila negara yang kita duduk diserang,” katanya.

Pembabitan Heliza sebagai anak seni mula dikenali melalui progam realiti Akademi Fantasia 2007, namun penyanyi dengan nama penuhnya Nur Heliza Helmi ini juga turut ikut menyertai aktiviti program kemanusiaan.

Mengulas peluang ke Gaza pada tahun ini, Heliza berkata hasrat berkenaan terpaksa dibatalkan berikutan kepadatan jadual.

“Memang susah nak dapat masuk Gaza. Bila dimaklumkan nama naik, saya tahu ini merupakan peluang sangat besar untuk menjalankan misi.

“Sebenarnya, waktu berlaku serangan, orang di Gaza dan wakil pertubuhan bukan kerajaan ada berhubungan dengan kami dengan menghantar video kejadian,” katanya.

Sementara itu, Heliza berkata ibunya Latifah Mohamad dan bapa, Helmi Hasbi merupakan dua insan bertanggungjawab memberi dorongan dan motivasi untuk dia menjejakkan kaki ke bumi bergolak seperti Gaza.

Helmi yang ditemui bersama anaknya pula menjelaskan sebagai bapa, dia perlu sentiasa berfikiran positif selain bersedia mengambil risiko dengan keselamatan anaknya.

“Buat kerja baik, kita sokonglah, mereka pergi bukan suka-suka. Jika semua orang berfikiran negatif siapa lagi nak bantu?

“Kami harap apa yang kami lakukan boleh buka mata orang lain,” katanya.

Lihat Komen