SENI & HIBURAN

Chef selebriti Adamdidam selamat dikebumikan

Bernama

19 Mei 2019, 6:28 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Chef selebriti terkenal Muhammad Adam Mahamed Ismail, 29, atau dikenali sebagai Adamdidam meninggal dunia pukul 4 pagi tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Bapanya, Mahamed Ismail Mohamed Yusoff, 69, berkata anaknya itu disahkan dijangkiti kuman pada paru-paru selepas demam panas kira-kira sebulan lepas sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

“Selepas berulang-alik ke hospital beberapa kali, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk Allahyarham berehat di rumah dan mengurangkan aktiviti penggambaran,” katanya kepada pemberita di Pasir Mas hari ini.

Mahamed Ismail berkata beliau reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu yang lebih mesra dipanggil ‘Mamaji’ dalam kalangan keluarga.

“Arwah anak sangat baik dan tidak pernah menyusahkan saya dan ibunya, malah adik-beradik yang lain menyenangi perangainya,” katanya.

Jenazah Allahyarham Muhammad Adam selamat dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Lemal di sini pada 11.05 pagi tadi, sebelum itu jenazah disembahyangkan di Masjid Telipot pukul 10.05 pagi.

Kira-kira 150 orang termasuk keluarga dan rakan terdekat hadir memberi penghormatan terakhir di masjid serta tanah perkuburan kepada Allahyarham yang juga bapa sepupu kepada artis terkenal, Neelofa.

Sementara itu, kakak sulung Allahyarham, Ashmiza, seorang pensyarah di United Kingdom berkata, beliau pulang ke tanah air sebulan lalu untuk menjaga Allahyarham sejak jatuh sakit.

Katanya, dia berasa sedih kehilangan adik bongsu yang sangat baik, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Allahyarham seorang yang kuat semangat, malah sepanjang dia jatuh sakit, Allahyarham masih berusaha menyiapkan kerja yang diamanahkan kepadanya,” katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen