Mahkamah Rendah Syariah Klang mengesahkan talak dilafazkan Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan terhadap isterinya Ain Afini Latif menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini adalah sah.
Ketetapan itu dibuat hanya seketika selepas pasangan terbabit didapati hakim masih suami isteri yang sah selepas pengakuan bersumpah Abu diterima.
Pengesahan lafaz cerai itu dibuat apabila Abu dan Ain Afini berpatah balik ke mahkamah bagi mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong perceraian berkenaan.
“Ketika hakim membuat keputusan (perceraian tidak sah), itu sebenarnya ada kenyataan tidak penuh daripada pihak saya.
“Ada maklumat yang tidak cukup membuatkan perceraian itu tidak sah dan saya terpaksa berpatah balik bagi menambah kenyataan,” kata Abu - atau nama sebenarnya Mohamad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi seperti dipetik mStar hari ini.
Semalam mahkamah yang sama, memutuskan Abu masih berstatus suami walaupun bekas perserta rancangan realiti TV itu menghantar mesej cerai kepada wanita terbabit sebelum ini.
Hakim Mahkamah Syariah Klang, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar dalam penghakiman berkata, keputusan status lafaz cerai Abu dibuat selepas personaliti TV itu bersumpah dia tidak berniat semasa menghantarnya.
Bagaimanapun, pendakwah bebas itu enggan berkongsi maklumaat berkenaan kenyataan tersebut.
“Bukti perceraian itu hanya dapat dikongsi selepas memperolehi dokumen sah dalam tempoh sebulan dari tarikh perceraian kami,” katanya.
Sementara itu, Ain juga mengesahkan maklumat yang disampaikan oleh bekas suaminya itu.
“Kami sambung bicara kes waktu petang, ada maklumat pihak lelaki yang tidak lengkap sewaktu perbicaraan pagi.
“Itu yang menjadi punca talak tidak sah. Jadi kalau ikutkan mahkamah (keputusan), macam itu lah.. jatuh talak dua.
“Tapi maaf saya tidak dapat kongsikan (fakta tambahan yang dikemukan mahkamah) kerana ia melibatkan aib di pihak sana,” katanya.
Pada Mac lalu, Ain menerusi laman Instagram menjelaskan bahawa dia telah diceraikan oleh Abu dan memilih untuk menikahi seorang janda.

