malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Jarum-jarum' dalam filem yang menghambat penguasa
ADS

ULASAN | Dalam tradisi lama, tidak sedikit karya-karya agung Melayu yang tampil menyanggah keadilan yang dimaknakan oleh raja dan kebenaran ditakrif istana. Karya-karya agung itu mengajar orang Melayu tentang ketegasan rakyat biasa.

Melalui karya-karya itu kita diajar bahawa rakyat tidak selamanya perlu menyembah seorang raja secara tuli dan buta.

Walaupun penentangan Jebat dalam Hikayat Hang Tuah itu disifatkan hanya berbentuk peribadi - dan tidak sampai ke tahap menyanggah sistem politik feudal istana - namun ia kekal penting.

Ia menjadi perlambangan terhadap sikap beberapa pembesar istana seperti Bendahara Tun Perak dan Tuah yang sepakat bekerjasama demi menjaga status quo mereka dan pihak istana.

Memang diketahui bahawa keseluruhan hamba rakyat tidak ada yang menyokong penentangan dilakukan Jebat terhadap istana. Malah Tuah berani menyanggah tindakan Jebat dengan kata: "Siapa bersetia dengan engkau, kerana engkau orang derhaka.”

Kata-kata itu akhirnya membuat Jebat berasa luluh dan hampa sehingga perasaan kecewanya dizahirkan dengan penuh kemarahan yang tidak siapa berani untuk memperkatakan apa-apa.

Namun sebenarnya semua itu berlaku bukanlah kerana orang Melayu tidak cukup bijak dan cakna dengan hal-hal keadilan sehingga naif menimbang kebenaran seorang raja.

Gadai maruah diri sendiri

Itu semua berlaku kerana seluruh rakyat gerun menjadi penderhaka istana dan berdepan hukuman berat daripada pengadilan eksklusif raja.

Hukuman bunuh yang pernah dijatuhkan sultan ke atas Bendahara Tun Mutahir dan empat anaknya adalah suatu contoh besar nasib seorang yang dituduh sebagai penderhaka.

Seorang pembesar istana yang terfitnah menderhaka - kerana kononnya hendak merampas kuasa - semudahnya dibunuh segera, inikan pula andai penderhaka itu rakyat biasa.

Kerana itulah kegerunan dan ketakutan rakyat menjadi nadi dalam jiwa orang Melayu sehingga ia melekat sebagai visual paling mengerikan dalam kepala.

Masyarakat Melayu sejak sekian lama memberikan istana cukup banyak kuasa dan percaya. Ia dilakukan sehingga mereka meletakkan kepercayaan agama serta pegangan prinsip dan nilai - termasuk maruah diri sendiri - kepada istana.

Inilah aspek yang dicabar oleh karya-karya agung Melayu yang tampil menyanggah makna keadilan pada raja dan kebenaran di mata istana.

Pada 2005, ada sebuah filem yang diarahkan oleh James McTeigue berjudul V For Vendetta menceritakan tentang kepincangan dunia pada 2020.

Kebanyakan negara - termasuk AS - musnah akibat virus berbahaya. Britain yang masih selamat kala itu pula berada di bawah kuasa pemerintahan seorang diktator fasis yang gila kuasa.

Dia memerintah tanpa memberikan kebebasan dan keadilan yang wajar pada rakyatnya.

Apa yang menarik dalam filem tersebut ialah rangkap dialog yang berbunyi:

“He can be caught, he can be killed and forgotten, but 400 years later, an idea can still change the world. I've witnessed first hand the power of ideas, I've seen people kill in the name of them, and die defending them. But you cannot kiss an idea, cannot touch it, or hold it.

"Ideas do not bleed, they do not feel pain, they do not love. And it is not an idea that I miss, it is a man. A man that made me remember the Fifth of November. A man that I will never forget.”

Ayat itu diungkapkan oleh Evey Hammond yang merujuk kepada V iaitu watak penting yang tidak siapa tahu identitinya kecuali idea kebebasan hakiki yang dia bawa.

Itulah yang berlaku dalam peristiwa Jebat dalam penentangannya terhadap raja. Aksi Jebat menyingkirkan raja sehingga berjaya menawan istana adalah idea yang akan kekal selamanya ada dalam kepala orang Melayu apabila mereka memperkatakan tentang keadilan dan istana.

Kerana ia adalah suatu idea kebebasan hakiki versi Jebat menentang kegilaan istana.

Raja gemar menghukum

Sebenarnya ada satu karya filem yang memanjangkan idea penentangan Jebat itu dengan menjawab segala asal punca mengapa dia keseorangan dalam perjuangan menentang istana.

P. Ramlee dalam filem Musang Berjanggut secara nyata menyinggung sikap pemerintah istana. Dia secara berani mengecam perangai raja dan para menteri yang ada.

Malah tanpa sedar dia mengkritik keras sikap feudal yang melekat dalam jiwa dan kepala masyarakat Melayu.

Naratif filem Musang Berjanggut adalah suatu tamparan hebat kepada sikap orang Melayu kepada istana. Ia tidak hanya mengutarakan sikap raja yang gemar menghukum tak kira siapa atas sebab yang entah apa-apa.

Filem itu juga menjentik batang hidung para pembesar istana seperti menteri yang lebih suka menggunakan kuasa berbanding kepala semasa mentadbir negeri Pura Chendana.

Sultan Alam Shah Bana dan permaisurinya tidak mempunyai anak bagi mewarisi takhta. Justeru mereka terpaksa mengisytiharkan hasrat untuk mengambil seorang anak daripada kalangan rakyat untuk diangkat sebagai putera mahkota.

Maka berbondong-bondonglah semua ke istana. Sehingga akhirnya seorang bayi dinamakan sebagai Tun Nila Utama dipilih dan ditabal menjadi raja muda Pura Chendana.

Setelah Tun Nila Utama dewasa dan memperoleh pendidikan atas kelebihannya sebagai anak istana, dia menjadi tengku mahkota Pura Chendana yang bukan saja hebat dengan ketinggian ilmu persilatan malah pintar berkata-kata.

Pada suatu ketika Tun Nila Utama mengundang murka baginda ayahanda angkatnya apabila dia berkata: "Perempuan yang ada dalam Pura Chendana ini hanyalah semata-mata betina. Perempuan menjaga maruah, tetapi betina menjualnya.”

Perlakuan itu telah menyebabkan dia berhadapan dengan hukuman pancung, lalu dibuang istana selama 12 purnama bagi membuktikan kata-katanya yang telah mengundang murka raja.

Angau separuh gila

Berbekalkan sebuah uncang, penonton dibawa terbang meninjau pemikiran masyarakat ke serata pelusuk hutan dan desa. Pengalaman yang dibawa daripada pengembaraan yang serba melucukan itu sebenarnya suatu jentik kritikan tentang sikap orang Melayu kepada elitis istana.

Hal terbesar yang cuba diketengahkan dalam Musang Berjanggut itu bukanlah sangat tentang keterujaan elitis bangsawan yang mudah terangsang dengan perang sebagaimana Megat Alang Sengketa yang cuba mencabar Tun Nila Utama.

Tidak juga tentang kedangkalan fikiran raja dan pembesar yang semudahnya terpedaya dengan kecantikan seorang perempuan sampai angau separuh gila.

Namun apa yang mahu dipertonjolkan adalah tentang sikap masyarakat Melayu terhadap raja dan istana. Sekiranya benar-benar diamati filem itu, kesemua keluarga dan perempuan yang ditemui Tun Nila Utama dalam pengembaraannya tidak tahu tentang identiti dia.

Namun berbeza dengan Puspawangi yang kemudian membawa Tun Nila Utama pulang bertemu keluarganya dengan penuh rasa bangga dan gembira kerana mengetahui bahwa dia seorang tengku mahkota.

Skeptikal dalam kalangan masyarakat Melayu yang semudahnya menyangka Tun Nila Utama seorang yang gila wujud hanya kerana mereka mengenali dia sebagai seorang pengembara biasa.

Justeru tidak hairan mengapa Puspawangi rela bersusah sengsara menyediakan bahan dari uncang Tun Nila Utama menjadi suatu hidangan istimewa.

P Ramlee mengajak kita melihat sikap kita. Mengajak kita menilai semula sikap kita yang terlalu memandang tinggi terhadap orang berpangkat seperti menteri, bangsawan dan suku-sakat keturunan raja.

Musang Berjanggut mahu membuktikan realiti bahawa pengaruh pemikiran feudal sedikit sebanyak merosakkan kewarasan masyarakat.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen