malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Syed Saddiq tak rela M'sia tewas pada S'pura, Thailand
Diterbitkan:  Apr 26, 2019 5:49 PM
Dikemaskini: 9:55 AM
ADS

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hasratnya yang mahu Malaysia menjadi destinasi nombor satu penganjuran konsert dan persidangan di rantau ini.

Katanya, negara tidak mahu ketinggalan berbanding negara-negara jiran dalam mengejar peluang tersebut.

“Tak serik ke kita asyik tewas ke Singapura, Thailand dan sekarang ini, juga di tangan Indonesia dan Vietnam.

“[...] Saya tidak mahu Malaysia untuk jadi destinasi nombor dua, atau tiga. Saya mahu Malaysia menjadi nombor satu,” katanya di Instagram.

Beliau mengulas beberapa pihak yang mempersoalkan niatnya untuk membawa masuk kumpulan idola Korea Selatan, BTS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Di Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia pun mereka jemput artis luar untuk datang, adakah ia bermaksud mereka tidak menghargai artis tempatan mereka?" Soalnya.

Pada 23 April, Syed Saddiq memaklumkan pihaknya sedang berusaha membawa kumpulan ikonik itu ke negara ini tahun depan.

Katanya, tanggungjawab tersebut diserahkan kepada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tony Fernandes.

Terdahulu, Fernandes turut memberitahu bahawa pihaknya sedang berhubung dengan syarikat hiburan Live Nation berhubung kedatangan kumpulan terkemuka itu.

Jelas Syed Saddiq, persembahan artis antarabangsa akan dapat menarik ramai pelancong asing, sekaligus memberikan kesan berganda terhadap bidang pelancongan.

MP Muar juga berkata konsert BTS dan Coldplay yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura habis dijual dalam masa kurang empat jam dan berjaya menarik puluhan ribu pelancong luar ke republik tersebut.

Beliau turut mengimbau kejayaan konsert Ed Sheeran dan Tokti baru-baru ini yang berjaya menarik kehadiran ramai penonton.

"Baru baru ini, kita berjaya membawa Ed Sheeran untuk perform di Stadium Bukit Jalil. Penuh stadium! Orang Singapura dan Indonesia pun turun ke Malaysia. Penuh stadium!

"Sama juga semasa Tokti perform di Axiata Arena... Stadium dan peralatan disewa dan peniaga peniaga kecil juga dapat nikmatnya," ujarnya lagi.

Menteri itu juga mendakwa Perbadanan Stadium Malaysia kini sedang dalam laluan yang tepat untuk menjana keuntungan selepas kerugian kira-kira RM20 juta setiap tahun sedangkan kemudahan stadium negara antara yang terbaik di Asia.

"Kenapa saya bicarakan soal ini? Perbadanan Stadium Malaysia kini dikendalikan oleh golongan profesional, bukan sahaja lantikan politik. 

"Dahulu, kita rugi dalam RM20 juta setahun, waima kemudahan kita di antara yang terbaik di Asia.

"Kini, selepas rundingan kontrak-kontrak berat sebelah dan setelah saya melantik lembaga pengarah yang baru, kami akhirnya sedang berada di landasan yang betul untuk membuat keuntungan pertama kami.

“Kalau tak dimanfaatkan, bagaimana kita nak raih dana berjumlah puluhan juta untuk penyelenggaraan aset aset kita?” soalnya lagi.

Mengambil contoh Stadium Wembley di UK, Syed Saddiq turut menjelaskan kemudahan itu boleh dipakai untuk berbagai tujuan bagi menjana keuntungan.

Lihat Komen