malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Sufian sedia dibandingkan dengan seniman negara
ADS

Bakal menerbitkan sebuah kumpulan buku puisi, Sufian Suhaimi menyatakan dia bersedia sekiranya hasil penulisannya itu nanti dibanding-bandingkan dengan penulis lain.

Kata Sufian, dia memilih untuk bersikap terbuka ke atas komen peminat terhadap hasil daripada bidang yang diminatinya sejak di bangku sekolah itu.

Kata penyanyi Terasa Ada itu, dia mahu memastikan kemampuannya sebagai seorang penulis dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Sebagai seorang yang gemar membaca, saya tidak sabar untuk melihat maklum balas daripada pembaca buku saya,” katanya.

Sufian ditemui pada majlis pengiktirafan Malaysia Book of Record dan pelancaran lagu terbarunya, Mencuba, di Kuala Lumpur semalam.

Bernada lebih positif, penyanyi lagu Di Matamu itu juga sanggup sekiranya buku puisi - yang diberi judul Senandika Sufian Suhaimi - itu dibandingkan dengan puisi ditulis mana-mana sasterawan.

Namun, katanya, dia bukan mahu mendabik dada, cuma lebih selesa mendengar kritikan yang boleh membina daripada pembaca.

“Sebenarnya, kalau dibanding-bandingkan dengan seniman negara pun tetap buatkan saya gembira, bukan apa, sekurang-kurang, ada juga yang beri perhatian,” katanya.

Senandika Sufian Suhaimi bakal menemui peminat selepas Aidilfitri ini dan memuatkan 70 puisi. Ketika ini ia berada di peringkat akhir.

Menurut Sufian bukunya itu tidak hanya memaparkan kisah cinta dan putus tunang tetapi turut memuatkan perjalanan kisah hidupnya sejak beberapa tahun lalu.

Pada masa sama, Sufian, 26, berkata dia cuba memberikan yang terbaik dalam buku puisi itu dan idea yang digarap bukan dibuat sambil lewa.

“Saya memang berusaha menghasilkan sesuatu dengan berkualiti termasuk buku puisi ni. Ia bukan diilhamkan daripada mana-mana ciapan mahupun status di Instagram.

“Bagi saya tu bukan bahan hiburan semata-mata tetapi berintelektual,” katanya yang turut menjalinkan kolaborasi dengan Universiti Utara Malaysia untuk buku puisi itu bagi tujuan pendidikan.

Sementara itu, mengulas mengenai Malaysia Book of Records, Sufian berkata, bukan kisah peribadi yang mendorong lagu Di Matamu mendapat pengiktirafan berkenaan.

Sebaliknya, Sufian, Di Matamu diiktiraf sebagai lagu paling ramai ditonton bagi kategori lagu Melayu dan artis tempatan dalam Malaysia Book of Records kerana ia mempunyai lirik dan melodi yang menyentuh jiwa pendengar.

“Benda tu jadi secara kebetulan. Tapi mereka dalam kalangan pendengar muzik balada di Malaysia gemar lirik dan susunan muzik yang indah dalam lagu berkenaan,” katanya.

Lihat Komen