malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Menjejakkan kaki di Beijing 798 Art Zone, perasaan penulis bercampur-baur tatkala melihat pelbagai arca, grafiti serta bermacam-macam karya seni yang dipamerkan.

Bangunan-bangunan yang merupakan kilang tinggalan, yang diubah suai menjadi galeri seni juga kelihatan sangat mengagumkan.

Beijing 798 Art Zone di daerah Dashanzi, yang terletak kira-kira 16 kilometer di timur laut kota Beijing itu memang terkenal sebagai pusat seni kontemporari China.

ADS

Asalnya, Dashanzi adalah kawasan perindustrian termasuk pembuatan peralatan ketenteraan, yang menjadi tumpuan rakyat China mencari rezeki pada tahun 1950-an. Kilang-kilang di kawasan itu dilengkapi teknologi terkini (ketika itu) selain dihubungkan dengan landasan keretapi sebagai pengangkutan utama.

Difahamkan, kawasan itu seakan-akan mati setelah perusahaan yang beroperasi di situ berpindah ke lokasi baharu di luar Beijing pada 1964.

Setelah bertahun-tahun terbiar, akhirnya kawasan perusahaan yang seluas 60 hektar itu diberi nafas baharu pada 2002 dan dinamakan Beijing 798 Art Zone - sempena kilang utama di situ, 798.

Sejak itu, Beijing 798 Art Zone yang juga dikenali sebagai Dashanzi Art District semakin popular sebagai destinasi tumpuan pelancong dari serata dunia.

Menjelang Januari 2008, lebih 400 organisasi kebudayaan dari pelbagai negara termasuk Perancis, Belanda, Belgium, Jerman, Jepun, Australia dan banyak lagi mula bertapak di zon itu.

Malah, Beijing 798 Art Zone kerap menganjurkan pameran serta aktiviti seni peringkat antarabangsa termasuk pertunjukan fesyen sebagai usaha mempromosi zon seni itu selain pembangunan seni kontemporari.

Walaupun kawasan kilang itu sudah berubah wajah, seni bina asalnya dikekalkan bagi menghasilkan suasana unik yang pastinya dihargai terutamanya oleh golongan pencinta seni, sejarah dan budaya.

Menurut portal topchinatravel.com yang berpangkalan di China, seni reka bangunan di kawasan itu dihasilkan oleh sepasukan arkitek dari sebuah institusi seni Jerman yang terkenal dengan teknik Bauhaus.

Teknik Bauhaus memang terkenal sekitar tahun 1930-an. Kesemua ciri unik seni bina kontemporarinya seperti dinding melengkung dan siling tinggi dengan bahagian tengah bumbungnya dibiarkan lopong untuk tujuan pencahayaan, masih dapat dilihat pada bangunan 798 Art Zone.

‘Pesta’ hujung minggu

ADS

Dalam kesejukan dingin pagi dengan suhu serendah 10 darjah Selsius, penulis mengambil masa lebih satu jam untuk meninjau keseluruhan kawasan itu.

Setiap arca dan grafiti yang dipamerkan mempunyai keunikan tersendiri dengan padanan pelbagai rona untuk menghasilkan karya seni yang menarik dan kreatif, sekali gus menonjolkan keindahan sekitar 798 Art Zone.

Mengamat-amati pelbagai karya seni di situ, penulis dapat rasakan betapa artis yang menghasilkan arca serta grafiti itu meluahkan rasa hati atau emosi atau cuba untuk bercerita kepada orang ramai mengenai sesuatu melalui karyanya.

Sebagai contoh ukiran arca seorang lelaki berusia separuh abad menghayun pedang sambil dikelilingi lebih 20 ekor serigala (bawah) yang membawa maksud seseorang itu tidak harus mengalah walaupun diasak dengan pelbagai tekanan.

Pada setiap hujung minggu, tapak 798 Arts Zone seakan-akan menganjurkan pesta apabila segenap lapisan masyarakat berkumpul di kawasan itu.

Ada yang menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk mengasah kemahiran fotografi, melepak bersama rakan-rakan dan tidak kurang juga yang menampilkan bakat sama ada menyanyi, menari atau bermain alat muzik.

Galeri seni yang terdapat di kawasan itu sentiasa aktif mengadakan pameran yang disertai artis-artis dari dalam dan luar negara.

Andy Warhol, artis dari Amerika Syarikat, dan Lucian Freud, pelukis terkenal Britain, adalah antara nama besar dalam dunia seni yang pernah mempamerkan karya mereka di situ.

Satu perkara yang pasti, mereka yang berpeluang berkunjung ke Beijing seharusnya menjadikan Beijing 798 Art Zone sebagai antara lokasi ‘wajib’ dikunjungi kerana pengalaman ke sana akan memberi anda satu sisi baharu terhadap evolusi seni di negara panda itu.

Kawasan seni itu kini menempatkan lebih 300 grafiti dan ukiran arca, selain galeri seni, kafe, butik pakaian, pusat kecantikan serta kedai buku.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen