malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kemelut takut, berani dalam dunia filem tempatan
ADS

ULASAN | Benarlah - yang kalah akan duduk diam mengarang sajak, manakala yang menang akan ditatang untuk bikin sejarah kemenangan.

Sebelum kisah polis korup dan krisis perit kemanusiaan tentang pemerdagangan orang menang di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-30 baru-baru ini, sudah ada kisah seniman cedera parah akibat berperang dengan lanun cetak rompak.

Ia sebuah kisah yang sengaja mahu dilenyapkan daripada sejarah.

Pada 1986 - sewaktu industri muzik lagu-lagu Melayu maju dengan melodi puitis dan merdu, ketika lagu Sekadar Di Pinggiran Francissca Peter berkumandang dalam bas-bas mini yang padat dan laju, ketika Alleycats menyanyikan Sampaikan Salam Cintaku di setiap ceruk rumah orang Melayu - ada sebuah filem degil yang nakal dan melawan dihasilkan.

Filem itu ialah Kembara Seniman Jalanan. Filem itu - yang tercalon dalam semua kategori di FFM tahun itu - bagaimanapun digugurkan daripada pencalonan pada saat paling akhir oleh penganjur atas sebab munasabab yang penuh kecurangan.

Sejarah besar dan penting penghasilan filem Kembara Seniman Jalanan oleh Nasir Jani selama 33 tahun dicatat sebagai sebuah Naratif Mini dalam dunia perfileman tempatan.

Malah, Hassan Abd Muthalib dalam bukunya Malaysian Cinema In A Bottle menggelarkan Nasir Jani sebagai persona non grata iaitu seorang seniman yang tidak dikehendaki oleh pihak tertentu dan disudutkan oleh sejarah Naratif Mini ke penjuru asing.

Lembik, jilat, bodek

Justeru bakat besarnya hilang dilenyap oleh elitis industri filem itu sendiri.

Elitis filem kebanyakannya terdiri daripada menteri dan pegawai-pegawai di kementerian, taikun-taikun industri filem yang berkuasa dalam badan berautoriti seperti Finas dan stesen-stesen TV tempatan.

Mereka hanya berani dan mahu mengangkat sejarah versi Naratif Meta, iaitu filem seharusnya lunak, lembik, lemak, menjilat dan membodek.

Pada mereka filem tak seharusnya melawan seperti kerasnya Kembara Seniman Jalanan.

Sejarah Naratif Meta yang menewaskan Naratif Mini menjadikan filem-filem kita tempat hingar yang membesarkan budaya pop dan mengagungkan tradisi hedonisme.

Filem kita menjadi sekadar hiburan yang serba kosong dan membosankan. Semenjak itu filem Melayu tidak lagi mahu jadi sekolah yang membuka dan mencabar pemikiran serta masuk ke dunia intelektual yang serba melawan untuk membawa kesedaran pada fikiran.

Filem kita sangat selesa mengkhayalkan benda yang bukan-bukan, dengan fantasi tema yang ringan-ringan. Segalanya atas alasan filem adalah tempat melepas penat bagi mereka yang terdesak mahukan sebakul hiburan.

Kisah panjang Kembara Seniman Jalanan itu juga membawa Nasir Jani ke suatu daerah hidup yang hanya dia saja mampu gambarkan.

Itulah kesannya apabila dia masih mahu bersuara dan masih mahu terus melawan sistem pengurusan industri filem yang serba hodoh dan penuh penindasan.

Dia sekali lagi - pada sekitar awal 1990-an, bersama beberapa teman seperjuangan yang terdiri daripada artis dan penggiat filem tempatan - berkunjung ke pejabat Finas untuk bertemu menteri bagi menyatakan sikap dan tentangan mereka terhadap beberapa isu salah guna kuasa dalam kementerian.

Antaranya isu rambut panjang dalam kalangan artis yang telah menjadi kehebohan yang menyusahkan.

Takut diganggu periuk nasi

Sasterawan Negara A Samad Said malah pada masa itu turut menasihatkan menteri dan kementerian: “Berambut panjang tidak bermakna seseorang itu panjang tangan. Berambut pendek tidak bermakna seseorang itu tak panjang tangan."

Namun suara-suara - yang tadi menyesah bersama Nasir Jani di luar - semuanya hilang sebaik pengarah itu bersemuka dengan menteri penerangan. Hanya seorang dua teman saja yang masih setia bersamanya ke depan untuk menentang dan melawan.

Setelah lebih 20 tahun peristiwa itu berlalu, sejarah kembali dan berulang. Karyawan, artis dan seniman yang tahu dan sedar akan asas ekosistem industri filem negara ini yang serba kurang dan menindas, tetap tidak berani ke depan menyatakan protes dan penentangan.

Hal itu berlaku ketika salah guna kuasa menjadikan mereka miskin, dan rasuah menjebakkan mereka pada kemelaratan.

Lebih buruk daripada itu, ramai artis, seniman dan karyawan masih takut diugut dengan ancaman periuk nasi terjejas kerana berani menyuarakan hak dan realiti kebenaran.

Malah mereka masih kecut dan takut bagi menzahirkannya ke dalam karya-karya seni yang dihasilkan.

Hari ini - setelah kerajaan berubah, menteri berubah, Finas dipimpin pengerusi dan ketua pegawai eksekutif yang baru - nasib para seniman serta karyawan masih belum benar-benar berubah. Karyawan masih tabah bekerja di bawah payung yang rabak.

Barangkali semua ini tidak akan berlaku sekiranya 33 tahun dulu Kembara Seniman Jalanan menang di FFM dan tidak dibuang daripada sejarah perfileman yang kemudian menjadi sekadar sebuah sajak yang indah.

Baru pada 31 Mac 2019 lalu sebuah filem seberani Kembara Seniman Jalanan berjaya menang di FFM ke-30. Dan ia sebuah kemenangan yang besar.

Namun adakah sejarah dapat diubah? Mampukah dengan kemenangan itu karyawan jadi pemberani dan filem pula berupaya jadi sekolah?

Atau mungkin filem Melayu akan terus tercicir di belakang?

Kenanglah kata-kata Praemodya Ananta Toer yang mencabar ini: “...apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajarkan yang mana benar, dan yang mana tidak...” ada mencabar.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen