malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Penulis yang macam kucing dalam kondo
ADS

ULASAN | “Waktu rindu terbias di muka samudera

ombak menguak percikan duka

kawanan awan mengintai rasa

balik bayang tanah besar,

tersimpan Laila.”

Itulah sajak anggur dan madu. Sajak yang mematikan hati, menidurkan realiti, hidup semula pada waktu yang pantas dan kejam. Begitulah nasib sajak dalam budaya kita masa kini.

Penulisan - khususnya sajak dan puisi - dimanjakan seperti kucing peliharaan yang tinggal dalam kondominium 15 tingkat. Selesa dimanjakan dengan penyaman udara.

Puisi-puisi yang ditulis sekadar menyedapkan hati, menipu soal kehidupan. Bait-bait indah yang dipunggah dari drama TV, sepi yang diambil dari lagu stesen radio.

Untung pula jika dibukukan, dijual di pesta buku, toko-toko buku ternama. Penyajak muda ramai. Kalau disusun, senang-senang boleh jadi deretan yang memanjang dari Kuala Lumpur hingga sampai di Kuantan.

Setiap hujung minggu acara sajak saja hampir memenuhi masa setiap anak muda di kota. Sudah menjadi hiburan terkini untuk orang muda menghadiri acara berkontekskan puisi dan sajak.

Mereka juga menulis semahunya.

Zine dihasilkan dengan banyak, umpama bawang di dalam mangkuk warung tomyam Siam. Masing-masing mengeluarkan produk sendiri. Tulis sajak, bikin zine, dan jual di reruai sesama mereka.

Begitulah keindahan dunia sajak menyajak di negara tercinta ni.

Ada di zon kuning

Penulis sendiri terpegun melihat keasyikan alam Malaya dan anak mudanya yang mencintai seni tulis. Namun itu bukanlah tujuan utama tulisan ini.

Sambil menjadi pemerhati senyap, penulis sering terfikir akan hala tuju sastera orang muda terhadap masyarakat kini.

Adakah sajak yang dibukukan itu sekadar membawa masyarakat membaca, atau menambah kepekaan mereka terhadap hidup? Sajak merupakan kata daripada desakan hidup masyarakat, juga permasalahan yang terbuku.

Sajak adalah saluran asas buat menyampaikan segala permasalahan tersebut atau ubat buat permasalahan yang terjadi di sekitarnya.

Gambar hiasan

Benarkah sajak yang ditulis itu menghasilkan keberuntungan kepada pembacanya? Atau sekadar menjadi buih di pantai yang serba tercemar?

Dewasa ini, negara yang masyhur ini dihujani pelbagai masalah. Isu-isu politik, pendidikan, alam sekitar, bahasa, kemiskinan dan agama berada pada zon kuning.

Justeru menjadi kerja penyajak untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya kesedaran terhadap perkara itu.

Pada hemat penulis, sajak adalah laluan suci untuk menyedarkan masyarakat yang telah didoktrin pihak yang sekadar mencari keuntungan diri semata-mata.

Gambar hiasan

Di sinilah tugas penyajak, iaitu menjernihkan kembali air yang semakin berkeladak dengan tipu daya politikus yang sering mengabaikan kebajikan manusia serta alam.

Kebencian mudah menjadi peledak bagi memecahkan kecintaan kita di negara ini.

Ketika pihak yang mengaku kononnya pembela negara merampok hak-hak istimewa orang asal, penyajak malah berada direruai menyajakkan hal kekasihnya yang ketiduran mabuk tuak.

Mereka masih bercerminkan rindu dendam. Saat orang dan undang-undang dibeli dengan wang serta kuasa, di mana penyajak?

Mereka seharusnya menjadi benteng masyarakat.

Sekadar mabuk kata

Masyarakat kehilangan saluran bersuara, parti politik sekadar membesarkan ruangan privasi mereka. Ahli politik menempelak orang asal, menyondol keharmonian yang menjadi teras kemajuan negara ini.

Golongan penyajak mudalah sepatutnya memacu minda masyarakat khususnya anak muda bagi menangkis hasutan yang menjadi parasit dalam pertumbuhan generasi baru.

Penyajak harus keluar dari tulisan rindu-rinduan sebaliknya menghayati persoalan yang nyata. Menghayati kebobrokan yang terjadi disamping mereka.

Penulisan perlu mendidik anak bangsa, memberi manfaat pada pembacanya. Mengisi titik ambuh agar tidak mudah dicengkam dan digula-gulakan.

Tugas penyajak mengabdikan diri buat masyarakat agar generasi ini mandiri, tidak melopong mengharapkan balas kerajaan. Tidak sekadar mengadu domba, kemabukan kata yang tiada membina.

Bangun dan bersajaklah buat membangkitkan keadilan bersama akal yang jernih. Menuntut belalah atas tanah merdeka ini.

Menulislah bersama masyarakat generasi kita.

“Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastera, kalian hanya haiwan yang pandai.” – Pramoedya Ananta Toer.


ALI ADENAN ialah mandur tapak pembinaan bangunan merangkap pemerhati sastera bawah tanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen