malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hans Isaac: Ini semua demi anak seni
ADS

Aktor Hans Isaac meminta beliau diberi tempoh selama beberapa bulan untuk membuktikan kemampuannya sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menurut Hans Isaac, sebaik namanya diumum menjawat kedudukan itu beliau memasang hasrat untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh dan tidak mahu hanya sekadar bercakap sahaja.

“Beri saya peluang. Saya tak nak cakap banyak mengenai apa tindak-tanduk yang bakal dilakukan untuk Finas. Bila sudah tiba masanya, saya akan umumkan.

“Sebabnya sudah 25 tahun saya berada dalam persada seni tanah air dah terlalu acap kali saya dengar orang hanya tahu cakap.

“Sebab tu saya nak kurangkan bercakap tapi biarkan hasilnya nanti dapat membuktikan usaha telah dijalankan dengan baik dan sempurna,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Nama Hans Isaac hari ini diumumkan sebagai pngerusi Finas oleh Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Bincang dengan Ahmad Idham

Pemilik nama penuh Gerald Hans Isaac itu memegang jawatan berkenaan selama dua tahun, berkuat kuasa 8 April lalu. 

Sebelum ini, jawatan pengerusi Finas dipangku oleh Samsuni Mohd Nor selama lebih empat bulan.

Bagaimanapun, menurut pelakon filem Baik Punya Cilok itu, beliau akan menampilkan manifesto dan agenda sesuai demi manfaat penggiat seni tanah air.

Terlebih dahulu kata Hans Isaac, 47, beliau perlu membincangkan secara menyeluruh isu-isu yang selama ini mengekang kemajuan Finas.

“Saya akan berbincang dengan lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ahmad Idham sebagai satu kumpulan.

“Semuanya demi melaksanakan apa yang terbaik dan memperbaiki Finas semula. Mungkin antaranya menyentuh perkara yang boleh melindungi penggiat seni dari sudut hak cipta misalnya,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama bakal dijalinkan bersama Ahmad Idham, Hans Isaac berkata selama ini beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan pelakon tersebut.

Sejurus pelakon filem Pencuri Hati Mr Cinderella itu diumum sebagai CEO Finas, Hans Isaac berkata mereka berdua saling berhubung menerusi telefon bagi membincangkan hala tuju perbadanan tersebut.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari kami berbincang melalui telefon. Dia faham apa saya nak untuk platform seni tanah air. Kami berdua sama-sama sudah lama dalam dunia hiburan.

“Saya nak pastikan selama dua tahun pegang jawatan ini semuanya dilakukan 100 peratus untuk anak seni,” katanya.

Lihat Komen