malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Derita anak mangsa perang buat Ella nak 'terbang'
ADS

Biarpun membawa muzik yang keras, melihat dari jauh penderitaan kanak-kanak mangsa perang cukup membuatkan hati ratu rock negara, Ella, 'cair'. Lalu tertumpahlah air matanya.

Kata Ella dia memang tidak melihat kejerihan ditanggung kanak-kanak terbabit secara dekat tetapi ia tetap menyentuh perasaannya.

Disebabkan itu jugalah penyanyi Istimewah berkenaan membulatkan hatinya untuk menjejakkan kaki ke bumi tempat pelarian perang berlindung sambil membawa misi kemanusiaan.

“Masa peperangan pertama kali berlaku di Syria, Ella tengok kesannya ke atas kanak-kanak amat teruk. Mereka tiada makanan dan terpaksa kutip apa yang ada untuk elak rasa lapar.

“Macam mana kalau perkara tu terjadi pada adik atau keluarga kita? Sebab itulah Ella nak bantu sangat-sangat mereka yang berada di kem pelarian,” katanya.

Ella - atau nama penuhnya Nor Zila Aminuddin - ditemui pada majlis pengumuman Relief Mission Palestine and Syria di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Sebuah kempen #1Follower1Ringgit untuk Palestin dan Syria juga dilancarkan sempena misi kemanusian tersebut bagi memudahkan orang ramai menderma bagi membantu pelarian perang serta kerja-kerja kemanusiaan.

Kumpul baju terpakai

Kata Ella, dia sebenarnya sudah lama mengimpikan peluang untuk sama-sama terlibat menghulurkan bantuan kemanusiaan dengan lebih efektif.

Menurutnya, hasratnya itu dimakbulkan selepas ditawarkan peluang oleh sebuah badan bukan kerajaan, Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB).

Dan menurutnya, ini merupakan julung kali dia berbuat demikian.

“Ni salah satu cara Ella boleh bantu secara agresif,” katanya.

Ella, 51, akan berangkat ke kem Palestin di Beirut dan seterusnya ke Syria (Bekaa dan Akkar) bermula 26 April ini bersama suami, Kapten Azhar Ghazali serta diiringi empat pegawai KBB.

Misi berkenaan dijadual berlangsung selama lima hari.

KKB yang memulakan operasi sejak 2016, sering menjalankan aktiviti kemanusiaan di beberapa buah negara lain seperti Lubnan, Bangladesh, Indonesia serta Malaysia.

Untuk nota, atas dasar keprihatinan, Ella yang juga penyanyi Peace Love Rindu itu selalu mengumpul baju-baju terpakai miliknya untuk diserahkan ke kem pelarian sejak 2013.

Sebelum berangkat, Ella berkata, dia dan suami perlu bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal untuk melaksanakan misi tersebut.

“Kami sudah bersedia, cuma saya tak bawa senapang untuk ke sana,” katanya berseloroh.

Sementara itu, Azhar berkata, dia terpanggil untuk menyertai misi kemanusiaan tersebut bagi meringankan sedikit beban yang dipikul pelarian.

“Kami tak dapat hentikan peperangan, apa kami boleh buat adalah berkongsi kepedihan dan kehidupan mereka.

“Kehidupan mereka tidak begitu baik, di sana tiada aktiviti, mereka sekadar melarikan diri daripada peperangan.

“Saya seru rakyat Malaysia agar dapat hulurkan sedikit sumbangan untuk berkongsi kebahagiaan kita yang berada di negara ni, melalui Kempen 1 Follower 1 Ringgit,” katanya.

Lihat Komen