malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Janna azam dapat pengiktirafan profesional industri filem
ADS

Selepas berjaya merangkul anugerah Aktres Pilihan Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019), Janna Nick berharap lebih banyak hasil lakonannya dinilai juri profesional.

Untuk itu, Janna berkata, dia perlu memburu lebih banyak karya-karya yang boleh menempatkannya sebagai seorang pelakon filem selepas ini.

“Saya harap dapat jadi pelakon yang terbaik, bukan hanya popular dalam kalangan peminat tetapi yang diiktiraf oleh juri-juri profesional,” katanya.

Pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner ditemui selepas acara DFKL2019 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya pada 7 April lalu.

Malam DFKL2019 menyaksikan Janna, 23, merebut Aktres Pilihan melalui drama Semerah Cinta Humairah.

Kejayaan itu sekaligus memadam ramalan yang menjangkakan pelakon Amyra Rosli - yang bertanding melalui drama Nur - sebagai pemenang kategori itu.

“Rasa macam tiada peluang langsung dan bila menang tu rasa macam kejutan besar sebab saya masih dapat pegang kemenangan ini untuk kali ketiga.

“Sejujurnya saya rasa dah ucap tahniah pada Amyra,” katanya.

Janna sebelum ini pernah mengungguli kategori Aktres Pilihan DFKL pada 2016 melalui drama Kau Aku Kita dan Biar Aku Jadi Penunggu (2018).

Menurutnya, sebagai seorang pelakon yang sudah berada enam tahun dalam persada seni tanah air, pasti teringin untuk mengukuhkan jenama sendiri dalam kerjaya.

“Saya anggap kalau dapat berlakon lebih banyak filem itu adalah pembaharuan untuk diri saya dan penambahan ilmu.

"Kita ini sebagai manusia takkan pernah berhenti belajar sebab ilmu itu ada di mana-mana," katanya.

Untuk rekod, Janna pernah muncul dua kali di layar perak menerusi Kerja Kahwin (2016) dan Kimchi Untuk Awak (2017).

Pelakon itu lebih banyak menerima tawaran sebagai pelakon drama dan telefilem sejak menjejakkan kaki ke dunia lakonan.

Mengulas lanjut, pelakon drama Syurga Nur itu berkata, dia akan cuba memberikan fokus yang mendalam jika mendapat sebuah naskhah filem yang bagus.

“Saya sanggup beri komitmen seratus peratus jika naskah itu bagus. Sebenarnya, saya lebih suka terikat dengan komitmen sampai sebulan, dua pun tak apa, asalkan puas,” katanya.

Bagaimanapun, kerana komitmen terhadap DFKL2019, Janna mendedahkan baru-baru ini dia terpaksa melepaskan tawaran berlakon sebuah naskhah yang amat dinanti-nantikannya.

“Tajuk filem tu Wira, mereka perlu latihan panjang sebab ia filem aksi. Saya tak dapat buat sebab komitmen dengan DFKL malah dilantik duta DFKL2019,” katanya.

Lihat Komen