malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon Desperate Housewives mengaku salah skim penipuan kolej
Diterbitkan:  Apr 9, 2019 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM
ADS

Aktres Felicity Huffman dan 13 individu lain bersetuju mengaku bersalah berhubung skandal penipuan kemasukan kolej yang terbesar dalam sejarah AS, kata pendakwa raya persekutuan semalam.

Seramai 14 daripada jumlah 50 individu itu, adalah termasuk ibu bapa golongan berada dan jurulatih pasukan kolej, yang dituduh pendakwa raya persekutuan di Boston terbabit dalam skim membabitkan penipuan dalam peperiksaan kemasukan kolej.

Rasuah berjumlah AS$25 juta (RM102.46 juta) dibayar bagi ‘menjamin’ kemasukan ke universiti terkemuka.

Bintang drama bersiri popular Desperate Housewives itu antara 33 ibu bapa yang didakwa Mac lalu kerana terbabit dalam skim dengan harapan dapat memasukkan anak mereka ke universiti seperti Yale, Georgetown dan University of Southern California.

Sebagai sebahagian perjanjian itu, pendakwa bersetuju memohon hukuman penjara pendek antara empat hingga 10 bulan yang dihadapi Felicity menurut garis panduan persekutuan.

Dia juga bersetuju membayar denda AS20,000 dan pampasan AS$20,000 (RM81,000).

Felicity yang mendirikan rumah tangga dengan aktor William H Macy berkata dalam satu kenyataan bahawa dia malu dengan tindakan dilakukannya ke atas anak perempuan, keluarga, rakan-rakan dan komuniti pendidikan.

“Anak saya langsung tidak tahu apa-apa mengenai perbuatan saya dan saya mengkhianatinya dengan cara itu,” kata bekas calon Aktres Terbaik Oscar itu.

Lihat Komen