malaysiakini logo
story-image
ADS

Drama Nur menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Drama Pilihan, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) pada acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini.

Drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu turut menggondol lima trofi lagi menerusi kategori Pengarah Pilihan yang dimenangi Shahrulezad, Penulis Skrip Pilihan (Shahrulezad), Aktor Pilihan (Syafiq Kyle), Pasangan Pilihan (Syafiq Kyle dan Amyra Rosli) serta Antagonis Pilihan (Azhan Rani).

Drama rantaian yang disiarkan di TV3 itu menjadi pilihan pengundi yang mencatat hingga 11 juta tontonan ketika ditayangkan.

Nur berkisahkan perbezaan kehidupan masyarakat yang dilabel sebagai golongan pendosa dan juga golongan beriman daripada perspektif masyarakat sekeliling ditayangkan bermula 13 Mei tahun lalu menerusi slot Samarinda.

Walaupun tuah menyebelahi Syafiq menerusi drama Nur bagi Aktor Pilihan, gandingannya, Amyra dalam drama itu gagal mengungguli trofi Aktres Pilihan apabila dia tewas di tangan Janna Nick.

Janna merangkul anugerah itu menerusi lakonannya dalam drama Semerah Cinta Humairah.

Meskipun tewas pada Anugerah Juara Lagu ke-33 lalu, lagu Jatuh Bangun nyanyian Haqiem Rusli dan Aman Ra berjaya merangkul kategori lagu pilihan menerusi drama Shah dan Zam.

Bagi Drama Pendek Pilihan, kategori itu dimenangi Orang Kita karya Mohamad Edzuan, kedua Nelayan Siblings (Creative Details Filming) dan ketiga, Butang Hukum karya Ahmad Syukri.

Drama Rantaian Bahasa Cina Pilihan menjadi milik drama My Sensei Nyonya terbitan Mediacorporation Studio (M) Sdn Bhd.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan iaitu Drama Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Rantaian Berbahasa Cina Pilihan, Drama Pendek Pilihan dan Lagu Pilihan.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan ramai artis terkemuka tanah air antaranya, Anuar Zain, Mark Adam dan Hazama.

Mengangkat tema #PositifSelalu, DFKL kali ini yang memasuki tahun keenam turut menampilkan pelakon Izzue Islam dan Janna Nick sebagai duta.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang bagi 10 kategori dipertandingkan di DFKL 2019.

1. Drama pilihan : Nur (Radius One Sdn Bhd)

2. Pengarah pilihan: Shahrulezad (Nur)

3. Penulis skrip pilihan: Shahrulezad (Nur)

4. Aktor pilihan: Syafiq Kyle (Nur)

5. Aktres pilihan: Janna Nick (Semerah Cinta Humairah)

6. Antagonis pilihan: Azhan Rani (Nur)

7. Pasangan pilihan: Syafiq Kyle dan Amyra Rosli (Nur)

8. Drama rantaian berbahasa cina pilihan: My Sensei Nyonya (Mediacorporation Studio (M) Sdn Bhd)

9. Drama pendek pilihan: Orang Kita (Mohamad Edzuan) dan Nelayan Siblings (Creative Details Filming)

10. Lagu pilihan: Haqiem Rusli dan Aman RA , Jatuh Bangun (Shah dan Zam)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen