malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Le French Festival eratkan Malaysia - Perancis
ADS

Edisi ke-18 Le French Festival (LFF) tahun ini, yang disifatkan sebagai festival kebudayaan terbesar Perancis di Malaysia, dijangka mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati pelbagai karya hebat negara itu dan program yang disajikan.

Duta Perancis ke Malaysia, Frédéric Laplanche, berkata program itu yang membabitkan tayangan filem, gastronomi dan pelbagai bengkel - akan mempromosi pemahaman budaya serta hubungan rakyat antara kedua-dua negara.

“Sebagai respons kepada maklum balas positif tinggi yang kami peroleh tahun lepas, tahun ini buat julung kalinya, kami menggalakkan kolaborasi dengan syarikat teater Malaysia, KL Shakespeare Players (KLSP), untuk menghasilkan satu persembahan tempatan berdasarkan karya terkenal di teater Perancis iaitu Cyrano de Bergerac (untuk) dilakonkan artis Malaysia dan Perancis yang berbakat.

“Daripada kolaborasi ini, saya rasa terdapat keperluan untuk membawa karya ini kepada generasi muda di sini juga. Selain itu, ini adalah satu lagi bidang di mana kita boleh melibatkan rakyat di Perancis dan Malaysia untuk menjadikan mereka lebih terdedah kepada budaya satu sama lain,” kata Laplanche kepada Bernama di luar majlis pelancaran festival itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Presiden Alliance Française Kuala Lumpur (AFKL) dan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas (GSC) Koh Mei Lee.

“Sudah tentu saya ingin melihat lebih banyak kolaborasi antara pawagam Perancis dan Malaysia dalam soal tayangan filem, di luar festival ini. Bagaimanapun, pada masa yang sama, saya juga secara peribadi ingin menyaksikan lebih banyak budaya rakyat Malaysia, sama ada tarian atau filem (tradisional atau kontemporari) - di Perancis.

“Ini adalah sesuatu yang sedang kami usahakan. Jika kami boleh membina jambatan antara pengeluar di Perancis dan Malaysia, ia akan banyak membantu. Pada Julai, sekumpulan besar pengeluar filem dan pemilik pawagam Perancis akan berkunjung ke negara ini,” kata Laplanche.

Anjuran bersama AFKL dan kedutaan Perancis di sini, LFF bakal menyaksikan penayangan 15 filem yang memenangi anugerah di Perancis semasa festival itu berlangsung dari 4 April hingga 12 Mei.

Antaranya Sink or Swim (komedi), Funan (drama animasi), In Safe Hands (drama), The Emperor of Paris (Thriller Jenayah), Remi, Nobody’s Boy (Pengembaraan Keluarga), Just A Breath Away (Aksi, Fiksyen Sains) dan Memoir of War (Sejarah, Drama).

Semua filem akan ditayang di pawagam GSC di Pavilion Kuala Lumpur, 1Utama dan Mid Valley (4-12 April), Plaza Gurney, Pulau Pinang (25 April-5 Mei), Paradigm JB Mall, Johor Bahru (2-5 Mei) dan Suria Sabah Mall, Kota Kinabalu (9-12 Mei).

- Bernama

Lihat Komen