malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Semangat Hashmita nyanyi lagu Melayu tak luntur dek kecaman
ADS

Bakat baru seni suara Hashmita Selvam berkata dia tidak serik untuk menyampaikan lagu berbahasa Melayu meskipun dituduh menjaja kisah mistik untuk melariskan single pertamanya, Takkan Kembali.

Kata Hashmita, minat yang mendalam terhadap lagu berbahasa Melayu tidak luntur dengan mudah hanya disebabkan tuduhan tidak berasas pihak tertentu itu.

“Sejak kecil saya memang suka menyanyikan lagu Melayu, jadi kalau ada orang komen bukan-bukan, takkanlah saya nak undur diri hanya sebab itu.

“Saya tak patah semangat sedikit pun, sebaliknya apabila timbul kejadian macam ni, saya lebih bersemangat kerana saya masih baru dan perlu membina nama sebagai penyanyi,” katanya kepada Malaysiakini.

Anak kelahiran Melaka itu ditemui pada majlis suai kenal dengan media di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, ada warganet mendakwa terdengar suara misteri - seperti bisikan - pada rakaman audio Takkan Kembali.

Selepas proses rakaman video muzik di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 26 Shah Alam pula, muncul kisah kononnya kejadian misteri menimpa dua kru syarikat rakaman Datu Entertainment.

Mulut tak dapat ditutup

Seorang daripada mereka dimasukkan ke hospital dan seorang lagi pengsan ketika membuat suntingan klip video berkenaan.

Pada 2 April lalu, ketika Hashmita menghadiri sesi temu bual program MeleTOP di Astro, Bukit Jalil, sekali lagi kejadian misteri didakwa berlaku apabila terdapat lintasan di depan kamera.

Lagu Takkan Kembali yang dilancarkan pada 15 Mac lalu itu dicipta komposer Rumhadi Rumnan, manakala lirik ditulis Iman Imran.

Ia berkisahkan percintaan dua individu berbeza agama yang kemudian terpaksa berpisah.

Mengulas mengenai gangguan-gangguan misteri berkenaan, Hashmita, 20, berkata semuanya tidak dibuat-buat malah dia menafikan kejadian yang berlaku sebagai gimik.

“Ia kejadian benar, saya takkan hasilkan gimik semata-mata demi melariskan single pertama.

“Semua berlaku tanpa dirancang dan saya tahu peminat bijak membuat penilaian berdasarkan apa yang dikongsikan di Instagram Datu Entertainment.

“Tapi apakan daya, saya dan pihak pengurusan tak dapat nak tutup mulut orang,” kata pelajar jurusan undang-undang di sebuah universiti swasta itu.

Muzik video Takkan Kembali meraih lebih 300,000 tontonan di YouTube dan ia turut menampilkan Erwin Dawson sebagai pelakon undangan.

Untuk rekod, nama Hashmita pernah menjadi tular suatu ketika dulu selepas dia menyanyikan lagu Siti Nurhaliza berjudul Nirmala.

Lihat Komen