malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Noorkhiriah, keluarga bersyukur dapat 'tumpang rezeki' Nur
ADS

Bagai menumpang tuah, pelakon Noorkhiriah teruja apabila ada rezeki datang mengejut buatnya selepas dia mengambil seorang anak angkat perempuan bernama Nur pada November tahun lalu.

Kata Noorkhiriah, kehadiran bayi perempuan - yang diberi nama sama dengan drama lakonannya iaitu Nur - itu menjadi pembuka rezeki yang tidak putus buat dirinya dan suami, Azfaizul Ahtan.

“Rezeki ada saja, alhamdulillah, tak pernah putus sejak kami jadikan Nur sebagai anak angkat,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Nur 2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Noorkhiriah Ahmad Shapie itu juga berkata, rezeki yang tidak dijangka itu datang dari pelbagai sumber.

Malah, kata pelakon telefilem Air Mata Ibu itu, rezeki itu banyak membantu mereka sekeluarga sehingga dapat menampung keperluan semasa walaupun dia tidak berlakon.

“Bukan nak mendabik dada, tapi memang rezeki ada saja dari segenap ceruk, misalnya ada jemputan sertai pesta buku.

“Dan sekarang Instagram review juga membantu saya menjana pendapatan.

"Sekarang, saya pula perlu minta mereka berhenti dan beri saya ruang dan masa," katanya.

Bagai anak kandung

Katanya kemurahan rezeki itu dapat dirasakan dengan ketara.

Noorkhiriah mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul sejak 13 tahun lalu. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua anak, Muhammad Hudhaifah, 10, dan Muhammad Yusoff, 8.

Mengulas mengenai Nur, Noorkhiriah berkata, dia dan suaminya memang sudah lama mengidam untuk memiliki seorang anak perempuan.

Dan impian itu ditunaikan selepas dia dimaklumkan mengenai Nur melalui seorang kenalannya pada September tahun lalu.

"Semua tak dirancang, apabila ada kawan tanya sama ada kami nak bayi perempuan sebagai anak angkat, saya terus bersetuju," katanya.

Ditanya bagaimana dia akan menjaga batas pergaulan anak perempuannya itu yang bukan mahram dengan dua anak lelakinya, Noorkhiriah menjawab, dia sedaya-upaya cuba menghasilkan susu badan.

“Itu sebab saya susukan sendiri Nur. Saya juga sudah menganggap Nur sebagai anak kandung. Bila ada yang tanya sudah berapa anak, saya akan jawab ada tiga,” katanya.

Bagaimanapun, Noorkhiriah berkata, tugas menjaga anak angkat tidak semudah disangka malah ia memerlukan pengorbanan perlu dilakukan dari segi mental, fizikal dan masa seseorang.

“Kena bersedia mental dan fizikal secukup-cukupnya. Masa kita akan jadi terbatas, bila ada anak kecil saya perlu pulang ke rumah secepat mungkin," katanya.

Lihat Komen