malaysiakini logo
story-image
ADS

Tunku Mona Riza menerima penghargaan atas jasa dan sumbangannya membantu meningkatkan kesedaran ke atas komuniti autistik menerusi filem arahannya Redha.

Ia melalui sijil pengiktirafan yang diserahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, sempena sambutan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia pada 2 April lalu di Kuala Lumpur.

“Saya menjadi penggiat seni pertama yang mendapat penghargaan ini kerana membantu membawa perubahan berkenaan kesedaran autisme ke satu peringkat yang tak pernah dicapai sebelum ini.

“Semuanya bermula selepas Redha ditayangkan di pawagam pada 2016 selain filem itu mendapat banyak pengiktirafan di luar negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Redha berkisahkan cabaran perlu dilalui pasangan Razlan - watak dilakonkan Nam Ron - dan Alina (Nadiya Nissa) selepas mengetahui anak mereka mengalami masalah autisme.

Filem itu antara lain mendapat dua anugerah utama di Festival Filem World Premiers di Filipina dan tiga anugerah Festival Filem Muslim Antarabangsa Kazan di Rusia, selain terpilih mewakili negara ke Cannes.

Dengan pengiktirafan oleh kementerian itu, Tunku Mona menyuarakan harapannya agar filem itu dapat dijadikan rujukan akademik di institusi pendidikan di Malaysia.

“Saya menyeru Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional agar menggunakan Redha sebagai bahan pembelajaran atau rujukan untuk subjek yang berkaitan.

“Saya dimaklumkan ada pelajar institut pengajian tinggi dalam jurusan psikologi hadir ke tayangan tertutup untuk menontonnya bagi menyiapkan penyelidikan mereka. Ada juga sekolah yang membuat tayangan untuk pelajar mereka.

Pendek kata, Redha bukan setakat satu medium hiburan semata-mata,” katanya lagi, selain berharap filem itu dapat ditayangkan di RTM agar dapat terus mendidik masyarakat mengenai autisme.

"Saya nak simpan (Redha) pun buat apa, gunakanlah... Kita tak boleh abaikan penyakit seperti ini kerana ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja," katanya.

Dia juga berharap lebih banyak pihak korporat yang menjadikan isu autisme sebagai salah satu fokus bagi kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Katanya, ia boleh melalui kerjasama dalam kegiatan kebajikan melibatkan kanak-kanak autistik di seluruh negara.

Lihat Komen