malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Rektor baru Aswara belum dapat 'restu' menyeluruh
ADS

Seakan kemelut yang sukar menemui cahaya di hujung jalan, isu jawatan rektor Akademi Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) masih belum memuaskan sesetengah pihak.

Walaupun jawatan itu kini diisi orang baru, beberapa penuntut dan lepasan Aswara berpendapat ia masih tidak memadai bagi memulihkan semula institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan.

Wakil mereka, Nur Lina Mastura Tajaludin berkata pelantikan Prof Madya Sahar Sa'adi Hashim bagi menggantikan Dr Mohd Rizon Juhari dibuat tanpa ketelusan.

Malah katanya kekosongan jawatan ditinggalkan Mohd Rizon juga tidak diiklankan seperti yang dirasakannya wajar dibuat.

Untuk rekod sebelum ini Sahar Sa'adi disebut-sebut akan dilantik sebagai timbalan rektor Aswara.

Kata Nur Lina sebelum ini mereka sudah menyatakan bantahan dan tidak bersetuju Sahar Sa'adi dilantik sebagai timbalan kepada Mohd Rizon.

“Ini keputusan tak masuk akal. Kami dah hantar memorandum bantahan mengenai perlantikan individu itu sebagai timbalan rektor hal ehwal akademik Aswara kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Tiba tiba kami dimaklumkan bahawa rektor baru sudah dilantik,” katanya kepada Malaysiakini.

Menteri ada hak

Sebelum ini, nama Sahar Sa'adi memang disebut-sebut bakal mengisi jawatan rektor apabila Mohd Rizon dilaporkan bercuti ketika desakan dan kritikan terhadapnya semakin meningkat.

Keadaan itu berlaku sejurus selepas kontrak Mohd Rizon di Aswara dilanjutkan kerajaan. Satu petisyen dalam talian juga dilancarkan bagi mendesak beliau diberhentikan.

Tidak lama selepas itu Mohd Rizon - yang terpalit dengan beberapa kontroversi dan dakwaan - melepaskan jawatannya.

Pada 1 April lalu Pengerusi Lembaga Pengarah Aswara, Rashidi Hasbullah, mengumumkan Sahar Sa'adi dilantik sebagai rektor Aswara untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada hari berkenaan.

Mohd Rizon (kiri) sebelum ini dilanjutkan kontraknya oleh Mohamaddin

Menurut Rashidi, Sahar dilantik sendiri oleh menteri, Mohamaddin Ketapi.

Kata Nur Lina, pihaknya tidak keberatan sesiapa pun dilantik menjadi rektor Aswara namun proses yang dijalankan mestilah dibuat secara telus.

“Sebelum ni untuk mengisi jawatan berkenaan, ada dikeluarkan iklan, tapi sekarang mengapa tidak?

"Sekurang-kurangnya berilah peluang kepada individu yang berkelayakan dan berpengalaman untuk memohon. Cara itu kan lebih adil dan telus?” katanya.

Sementara itu Pengarah Komunikasi Korporat Aswara, Farah Malissa Mohsen, berkata Akta Aswara 2006 memberi kuasa kepada menteri untuk melantik rektor di IPT terbabit.

“Selaras dengan itu, menteri mempunyai hak prerogatif untuk menentukan kaedah pemilihan dan pelantikan.

“Akta itu tidak menetapkan sebarang kaedah bagi maksud pemilihan dan pelantikan rektor,” katanya.

Lihat Komen