malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Fikry bimbang peminat terlupa dirinya pelawak
ADS

Akur dengan pemintaan tinggi bagi memenuhi watak serius dalam bidang lakonan, Fikry Ibrahim, mengaku hatinya tetap resah sekiranya ada peminat melupakan bahawa dia sebenarnya bermula sebagai seorang pelawak.

Fikri - yang mula dikenali selepas memenangi tempat ketiga Lawak Solo 2016 - berkata demikian kerana minatnya dalam bidang yang menaikkan namanya itu cukup mendalam.

“Memang kurang OK jika ada peminat lupa saya memulakan karier awal sebagai pelawak.

“Ini bukan masalah lupa diri atau pun tak, tapi minat saya yang asal memang untuk melawak,” katanya.

Fikry atau nama penuhnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim ditemui pada sidang media pengumuman lima artis teratas untuk Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) di Kuala Lumpur semalam.

Fikry, 24, tercalon bagi kategori Artis Lawak MeleTOP AME2019 dan bakal bersaing bagi merebut gelaran itu dengan Bocey, Jep, Jihan Muse dan Zizan Razak.

AME2019 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 21 April ini.

Untuk nota, Fikry pernah menjayakan drama seperti Hero Seorang Cinderella, Rahsia Hati Perempuan dan Kerna Syurga Bukan Percuma.

Penting untuk melangkah jauh

Menurut Fikry, drama yang melayakkan namanya tersenarai dalam AME2019 adalah menerusi watak komedi dibawakannya dalam Cik Reen Encik Ngok Ngek.

Kata Fikry, mendapat pencalonan dalam AME2019 sekurang-kurangnya berjaya mengekang perasaan gusarnya mengenai genre asal yang diketengahkannya ketika mula bertapak di dunia hiburan dulu.

“Saya sangat bersyukur kerana tercalon dalam AME2019.

“Saya anggap inilah cara saya nak ingatkan diri dan juga peminat yang genre asal saya ialah lawak jenaka," katanya.

Bagaimanapun, Fikry yang kelibatnya kadang-kala muncul memenuhi undangan di TV sebagai pengacara berkata, dia sering mengambil positif sesuatu penerimaan umum terhadap kredibiliti yang diketengahkannya.

Bagi anak kelahiran Jitra, Kedah itu, berkebolehan dalam pelbagai bidang merupakan kemahiran penting untuk perkembangan karier seni seseorang.

“Kalau terus bawa satu genre dalam industri jangka hayat kerjaya saya mungkin akan pendek sebab saya tak dapat belajar banyak karakter dalam lakonan misalnya,” katanya.

Lihat Komen