malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jadilah Picasso atau carilah Dora Maar
ADS

ULASAN | Apabila saya mengusulkan kepada pengarang berita Malaysiakini supaya menyediakan ruang untuk saya menulis di bahagian seni dan hiburan ini, beliau bersetuju.

Tapi dengan syarat, bayarannya tidaklah seperti yang diterima untuk tulisan di kolum saya.

Jika untuk kolum, saya menerima sekitar RM25,000 setiap bulan (balaci DAP kannn, mestilah dibayar mahal) maka untuk artikel mengenai seni catan pula saya tidak dijanjikan apa-apa oleh pengarang berketurunan Mandailing dan bangga kerananya itu.

Demi seni catan negara, menulis percuma pun saya rela sebenarnya. Cewahhhh!

Tapi, sebenarnya saya takut untuk menulis mengenai dunia seni catan Malaya ini.

Sebabnya ialah, kerana saya seorang pelukis yang sedang aktif berkarya.

Hal ini saya nyatakan kepada Tengku Sabri Tengku Ibrahim - pengarca yang sangat disegani - semasa saya berkunjung ke rumah beliau baru-baru ini.

Bimbang juga jika nanti apa yang saya tulis dibandingkan dengan lukisan-lukisan saya. Dan tentu sekali saya juga berisiko untuk menjadi tidak popular dalam kalangan kawan-kawan yang kuat berkarya.

Sedangkan menjadi popular ialah maksud hidup masyarakat hedonisme hari ini.

Tak tertunggu cerdik pandai

Payah juga nanti jika diboo apabila saya ke majlis-majlis peresmian pameran, misalnya. Bimbang diherdik orang akibat kelancangan dalam tulisan.

Sudahlah saya ini - seperti semua orang tahu - memang gila glamour. Sepilah nanti hidup saya sekiranya dipulau orang.

Namun apabila Tengku Sabri mengatakan bahawa beliau sendiri pernah menghadapi dilema yang sama - iaitu mahu menulis mengenai seni catan negara kita sedang pada masa sama beliau seorang pengkarya - dan hal itu beliau suarakan kepada pelukis Allahyarham Piyadasa.

Tengku Sabri

Piyadasa mengatakan bahawa tugas menulis mengenai catan harus dilakukan kerana kita sangat kurang penulisan dalam hal sebegitu.

Orang boleh kata macam-macam atau duduk diam tanpa berbuat apa-apa. Kerana itu juga saya mengambil keputusan untuk menulis mengenai seni catan negara kita.

Yalah, mahu ditunggu para cerdik pandai lulusan menara gading menulis mengenainya, berpeluh ketiak tidak berbulu pun tidak akan mereka lakukan jika ianya tidak memberi sumbangan kepada kenaikan pangkat dalam jawatan.

Lagipun, apabila mereka menulis tentang seni, seniman pun pening membacanya. Apabila mereka berbicara fasal memasyarakatkan seni, misalnya, masyarakat pun tak faham.

Ranggi dan dipuja ramai

Lalu biarlah saya yang bodoh ini menulis mengenainya. Biar padan muka semua orang.

Lagi pun jika apa yang saya tulis salah, tentu saja saya akan dimaafkan atas dasar ketidakfahaman saya dalam tertib berseni seperti yang diajarkan di sekolah.

Suka juga saya memetik kata-kata sahabat saya si Rosli Zakaria, iaitu, pendapat saya (tentang seni) bukan mesti betul dan tidak boleh dibangkang.

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menggesa anak-anak yang sedang belajar, selepas tamat pengajian bidang seni, berilah juga tumpuan kepada penulisan dalam hal seni catan negara.

Benar, menjadi artis setelah bertahun-tahun bergelut di universiti merupakan impian hampir semua pelajar jurusan seni catan.

Kemudian kita kelihatan ranggi dan digilai lelaki dan wanita. Namun wajib ada sebilangan daripada mereka yang terjun ke dalam bidang penulisan dan melakukannya atas dasar mahu seni kita lebih maju.

Lagi pun, penulis juga boleh ranggi dan digilai ramai. Ambil saya sebagai contohnya.

Kita kekurangan pengkritik karya. Itu jugalah yang menyumbang kepada ada yang berlaku kepada dunia seni catan kita sekarang, iaitu statik sejak 1990-an.

Kritikan amat diperlukan untuk memajukan seni catan kita. Lalu kritikan haruslah diterima sebagai jalan belajar dan bukannya dilihat sebagai pembunuh karier seseorang pelukis.

Kita tidak kekurangan pelukis. Beribu pelajar menamatkan pengajian dalam jurusan seni setiap tahun. Ini belum lagi dicampur dengan mereka mereka yang autodidact.

Karya dilupakan orang

Kemudian kita ada pula para pencenan yang tiba-tiba datang minat yang mendalam kepada seni catan, lalu segera berkarya.

Bayangkan betapa banyaknya karya dihasilkan setiap hari dan hampir tidak ada langsung yang menulis mengenainya.

Tidak ada siapa pun peduli mengenai kehebatan pengkarya yang sedang meningkat ini.

Apa yang sibuk diperkatakan ialah betapa hebatnya karya-karya yang dihasilkan pada masa lalu, dan biasanya apa yang dibicarakan berkait dengan faktor keuntungan yang terhasil daripada gembar-gembur karya tersebut.

Mereka yang sibuk dengan kehebatan karya masa lalu biasanya ialah pedagang seni yang mempunyai kepentingan terhadap karya tersebut. Dan karya-karya inilah yang dibicarakan pada setiap masa.

Kerana itu perlu ada sekumpulan anak muda yang bekerjasama menaikkan genarasi mereka dengan menulis. Juga memulakan rentak baru dalam dunia seni catan.

Jika kamu tidak melakukannya, maka selamanyalah karya-karya rakan sebaya kamu tidak akan diperkatakan orang.

Selamanya juga karya-karya hebat masa lalu diangkat dan diangkat lagi oleh pedagang yang bertopengkan pejuang seni negara.

Dan sebagai peringatan kepada anak-anak muda yang mahu terus kekal dalam bidang seni catan ini, Picasso menjadi amat terkenal dengan bantuan penulisan Dora Maar.

Kerana itu jadilah seperti Dora Maar yang dengan rela membantu mempromosi Picasso walaupun setelah ditinggalkan (Dora ialah kekasih Picasso).

Atau jika mahu menjadi Picasso, maka carilah si Dora Maar sebagai teman dalam perjalanan seni kamu.

Cukup rasanya sebagai pengenalan untuk artikel mengenai seni catan ini. Saya mengesa penulis sukan, penulis makanan dan pengkritik filim - dan drama serta semua jenis penulisan - segera meningkatkan usaha memertabatkan bidang masing-masing.

Jika tidak, maka saya akan tulis mengenai semua hal dan Malaysiakini nanti akan dikenali sebagai Abdullahjoneskini.

Baru kamu tahu.


ABDULLAHJONES ialah kolumnis Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen