malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Winter Sonata di Jalan Telawi: Cinta dan reformasi
ADS

ULASAN| Ini kisah hiburan yang ringan, saya rakamkan bagi memenuhi permintaan kawan lama yang akrab.

Beliau terkesan apabila membaca berita melodrama Korea Winter Sonata akan dibuat sekual pada April ini dan mahu saya mengulasnya mengikut citarasa sendiri.

Sebelum menulis baris pertama, saya bertanya kepada diri sendiri, apakah mahu mengulasnya sebagai tulisan akademik mengenai bagaimana Korea Selatan berjaya mengeksport budayanya melalui drama, filem dan muzik selepas populariti Winter Sonata atau tulisan yang memasukkan pengalaman peribadi dan mungkin tidak relaven dengan sesetengah pembaca.

Dan saya memilih yang kedua, kerana permintaan kawan lama yang akrab ini mengimbau kenangan kami bertahun-tahun lalu, ada nostalgia yang tidak pernah ditulis.

Melodrama Winter Sonata merupakan pencetus Gelombang Korea (Hallyu) yang melanda negara-negara Asia selepas milenium.

Sebelumnya kita terdedah dengan wayang gambar Barat yang dialognya lebih terbuka, bersulam adegan berani dan berahi.

Berbeza dengan Korea, filem dan dramanya boleh ditonton dan dibahaskan seisi keluarga. Nilai moden-moden Asia dibungkus kemas dalam jalinan plot yang bermain dengan emosi.

Tidak seperti Hollywood yang menjual pelakon, Korea menjual cerita. kekuatan setiap drama dan filem negara itu adalah terletak kepada plot dan penceritaannya.

Plot-plot menarik yang dilakonkan oleh aktor kacak dan heroin jelita, bergaya dengan pakaian model terkini, telefon genggam Samsung, berjaya memasarkan budaya dan gaya hidup Korea kepada dunia.

Winter Sonata adalah drama bersiri Korea yang pertama saya tonton dan juga yang terakhir. Sehingga kini saya masih menonton filem-filemnya tetapi drama bersiri, hanya Winter Sonata.

Kenapa? Begini kisahnya!

Jalan Telawi. Kecuali pejabat pos, deretan kedainya sudah banyak berubah berbanding 18 tahun lalu.

Lapan belas tahun yang lalu, di Jalan Telawi 2, Bangsar Baru, kami sekumpulan wartawan muda direkrut Khalid Jaafar untuk bekerja bawah media-media yang diketuainya.

Di atas pejabat pos Jalan Telawi adalah pejabat editorial Berita Keadilan - organ Parti Keadilan, majalah Siasah dan portal Siasah Online.

Tahun-tahun yang resah

Tahun-tahun itu, sekitar 2002 hingga 2003, merupakan tahun yang resah. Perdana menteri keempat memperkuat cengkamannya dalam politik negara selepas berjaya meredakan kebangkitan reformasi.

Beberapa pemimpin dan aktivis pembangkang ditahan ISA. Puluhan yang lain didakwa di mahkamah dengan berbagai tuduhan.

Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia sedang berbincang untuk bergabung menjadi satu parti.

Bush

Bush muda menang perang Iraq dan sedang memilih pengganti Saddam Hussein untuk memimpin Iraq Baru dan manakala di Afghanistan ketua-ketua suku membentuk Pakatan Utara untuk mengalahkan Taliban.

Sebagai wartawan kadet, ia merupakan tahun beraksi. Kita perlu membuat liputan dan menulis, menterjemah dari satu berita ke satu berita.

Dari berita demonstrasi, kepada kisah keluarga tahanan ISA, kepada berita bantahan kepimpinan Abim yang menguasai Keadilan ketika itu terhadap cadangan pergabungan dengan PRM dan lain-lain.

Majalah Siasah

Untungnya, kecuali Siasah Online, Berita Keadilan keluar dua minggu sekali manakala majalah Siasah sebulan sekali, jadi kami ada masa untuk menyusun jadual membuat liputan, menulis dan menterjemah berita atau rencana, membaca buku, menonton filem untuk ulasan.

Pejabat kami bukan hanya pejabat penerangan parti politik yang kaku dan searah. Kami jarang sebenarnya berbual soal politik kepartian di pejabat.

Sebaliknya Pak Khalid membiasakan kami untuk bercakap soal budaya, filem, buku, kapitalis, neo-lib, pasca moden, Mahabrata, Iliad dan Odyssey, novel Tolstoy War and Peace, sajak TS Eliot; The Hallow Man, macam-macam.

Khalid Jaafar

Ringkasnya percakapan orang yang melawan beraliran kanan. Begitu.

Bagaimanapun, ironinya, pada satu musim, topik yang melintas-lintas dalam berbagai perbualan kami di restoran mamak Darul Ehsan adalah drama bersiri dari Korea yang kononnya semua perempuan menontonnya telah berjurai air mata.

Watak, jalan cerita, lagu, babak demi babaknya kami kupas dengan asik, di celah kisah-kisah panas tahanan di Kamunting, nota dari Sungai Buloh, isu Ahmad Chalabi dan Pentagon, juga tulisan terbaru Christopher Hitchens dalam Vanity Fair.

Musim Winter Sonata pada kami di Jalan Telawi bermula lambat, ia bermula hanya selepas Pak Khalid terjebak menonton siri tersebut bersama isterinya, Kak Idah. Beliau bos media yang semula jadi. Tidak lokek ilmu, apa yang dibacanya di suruh kami pula membacanya.

Terus-terusan 30 jam

Beliau menonton siri epik Hindu Mahabrata, kami tonton Mahabrata, beliau baca novel Philip Roth, kami baca Philip Roth, sebab Pak Khalid akan bersembang apa yang dia baca dan tonton dengan penuh semangat sehingga mempengaruhi kami.

Begitulah dengan Winter Sonata. Satu hari beliau pinjamkan CD drama yang mempunyai 20 episod dengan setiap satu episod antara 60 ke 70 minit.

Lalu pada satu hujung minggu, saya menonton back to back Winter Sonata selama 30 jam, kerana perlu pulangkan CD-CD itu kepadanya pada hari Isnin.

Saya rumuskan Winter Sonata sebagai drama yang menunjukkan betapa singkatnya bahagia, dan betapa pula panjang derita.

Saya ada menulis ulasannya pada 4 Mei 2003; berikut saya salinkan kembali tiga paragraf awalnya.

"Jun Sang, apa ertinya sebuah pencarian, ketika engkau pergi ke Chun Chunn, untuk menjejaki ayahmu, di satu pagi yang tidak berbahagia, engkau menemukan seorang gadis yang tidur di bahumu, ketika bas telah pun melewati sekolah.

“Jun Sang, apa ertinya sebuah pertemuan, ketika U-Jinn terkinja-kinja menari seorang diri di dalam bilik penyiaran, seorang gadis dengan penuh kebahagian, engkau saksikan, curi-curi, dari balik pintu yang tidak rapat itu.

“Cinta, begitu ia disebut, hadir tanpa diduga, singgah di hati Jun Sang dan U-Jinn, seperti salji yang gugur, putih, bersih, dan tanpa dosa."

Hari-hari setelah itu, kisah U-Jin dan Jung Sang semakin kerap melintas-lintas dalam perbualan kami.

Tahun-tahun selepas itu Gelombang Korea tidak tertahan lagi, pasaran dibanjiri drama bersiri Korea seperti Stairway To Heaven, Full House, Autumn In My Heart, My Girl, Love Story In Harvard, Meteor Garden dan macam-macam tajuk lagi.

Bukan hanya drama, filem dan muzik juga. Kumpulan K-Pop tumbuh segar, dan jangan lupa lagu Gangnam Style yang memecahkan rekod tontonan di Youtube hanya kerana jenis tariannya sahaja.

Bagaimanapun, drama, filem dan muzik Korea tidak mempengaruhi saya. Saya hanya 'khatam' Winter Sonata, kerana selepas itu, saya kata cukuplah, ini kemuncaknya dan saya tidak mahu tonton mana-mana drama Korea lagi selepas itu.

Filem-filemnya saya tonton tapi drama bersiri, cukuplah Winter Sonata.

Sambungan, dari mana akan bermula?

Kesan Winter Sonata kepada orang Malaysia besar sekali, lihatlah pakej-pakej pelancongan ke Korea sehingga hari ini, selepas belasan tahun masih menyenaraikan Pulau Nami sebagai lokasi lawatan utama.

Pulau Nami yang menjadi latar drama tersebut, kelihatan sungguh cantik ketika musim semi sehingga ramai yang ingin bergambar ala-ala Jun Sang dan U-Jinn di situ.

Lagu temanya From the beginning until now disadurkan menjadi Sonata Musim Salju nyanyian Hazami. Saya pernah ke pusat karaoke bersama seorang pemimpin muda yang menyinar dari sebuah parti politik, lagu yang dipilihnya Sonata Musim Salju. Muahaha.

 Ketika membaca berita mengenai sambungan kepada melodrama ini, saya tertanya-tanya dari manakah nanti ia akan bermula?

Tidak banyak maklumat mengenai Winter Sonata 2019 ini, berita di Malaysia dan Indonesia mengenai sekual ini cuma bersumber laporan yang sama dari Korea Times.

Berita yang dikunyah semula oleh media dengan memberikan tajuk dan latar baru.

Winter Sonata yang pertama disiarkan sebelum revolusi media sosial, saya ingin tahu apakah reaksi untuk sekual ini akan lebih hebat dengan adanya Facebook, Twitter, Whastapp, tentera bawang dan lain-lain.

Apakah Winter Sonata kedua ini ditayangkan pada masa-masa yang resah ketika negara berdepan kemelesetan ekonomi dan politik - seperti tayangannya yang pertama dulu.

Ketika menontonnya dari satu plot ke satu plot lalu membiarkan diri hanyut berkubang emosi - yang sebenarnya adalah sejenis eskapisme dari realiti yang tidak diinginkan.

Persoalan ini akan hanya terjawab nanti dan sebagai drama bersiri paling popular satu ketika dulu, saya percaya Winter Sonata dua sudah menarik perhatian orang yang pernah menontonnya, dengan atau tanpa air mata.

Sekian, inilah saja ulasan saya, terima kasih.


HELME HANAFI ialah penulis dan penerbit buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen