malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bahu Kiri ceritakan eratnya hubungan China, Malaysia
Diterbitkan:  Jan 29, 2019 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM
ADS

Kedutaan China di Kuala Lumpur merakam sebuah lagu berjudul Zuo Jian atau Bahu Kiri sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Putrajaya - Beijing.

Wakil kedutaan China di Malaysia, Tang Tang, berkata lagu itu hanya satu daripada aktiviti sepanjang tahun yang dirancang pihaknya untuk meraikan peringatan berkenaan.

“Lagu ini juga akan berfungsi sebagai muzik tema untuk filem pendek yang kami dikeluarkan, berjudul Gift of Time.

“Ia sebuah kisah yang menyentuh untuk menghuraikan mengenai persahabatan di antara rakyat China dan Malaysia,” katanya seperti dipetik South China Morning Post.

Lagu Zuo Jian didendangkan secara berduet oleh penyanyi berusia 19 tahun dari Malaysia, Jeryl Lee Pei Ling, dan Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff.

Ia dirakam dalam dua versi iaitu Melayu dan Mandarin.

Lirik lagu itu antaranya menggambarkan betapa eratnya hubungan kedua-dua negara sebagai saudara.

Jeryl dan Siti Nurmasyitah dipilih kerana penerimaan ramai terhadap mereka di kedua-dua negara.

Nama Jeryl mulai popular selepas dia muncul dalam program Sing! China disiarkan saluran Zheijang Television.

Siti - yang juga dikenali sebagai Masyitah Masya - pernah mengagumkan pengguna media sosial pada 2017 apabila muncul menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin Si Le Dou, yang dipopularkan band dari Taiwan, Shin.

Hubungan di antara kedua-dua negara diuji baru-baru ini apabila Putrajaya mengkaji semula projek mega Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang sebelum ini dipersetujui Najib Razak.

Peralihan kuasa daripada BN kepada PH melalui PRU ke-14 pada 9 Mei tahun lalu turut memberi kesan kepada hubungan kedua-dua negara.

Ia menyaksikan PH diketuai Dr Mahathir Mohamad menamatkan pemerintahan selama 60 tahun BN yang ketika itu dipimpin Najib.

Walaupun Najib dilihat dekat dengan China kerana kesediaannya menandatangani perjanjian dengan Beijing, PH pula berpendirian sebaliknya kerana beranggapan ia terlalu mahal dan bukan demi kepentingan Malaysia.

Lihat Komen