malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Dhani rasa macam ada unsur balas dendam
ADS

Apabila hakim menetapkan hukuman dan mengarahkan penyanyi itu terus disumbat ke penjara, bagai ada deja vu berlaku.

Hendarsam Marantoko yang merupakan peguam Ahmad Dhani berkata, ada bukti menunjukkan penghakiman ke atas pengasas kumpulan Dewa 19 itu semalam mempunyai unsur membalas dendam.

Menurut Hendarsam, berdasarkan kejadian sebelum ini, mereka seperti mengalami deja vu apabila keputusan dibacakan hakim.

Katanya, melihat kes bekas gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama - atau Ahok - dua tahun lalu ada semacam persamaan pada Ahmad Dhani.

“Kami seperti deja vu. Sama seperti keadaan Ahok.

“Ahok juga menjalani perbicaraan (terbuka) dan kemudian setelah dijatuhkan hukum, terus dihantar ke penjara.

“Itu yang kami maksud dengan keputusan balas dendam,” katanya kepada Malaysiakini melalui khidmat pesanan ringkas.

Semalam Ahmad Dhani disabitkan kesalahan menghasut dan melakukan perbuatan kebencian ketika kempen pemilihan gabenor Jakarta sedang rancak berlangsung pada 2017.

Untuk rekod Basuki ialah tokoh pertama dalam kalangan bukan Islam yang dilantik menjadi gabenor Jakarta. Bagaimanapun pemilihan pada penggal berikutnya menyaksikan dia kalah kepada Anies Baswedan.

Ahmad Dhani berkempen untuk mengalahkan Basuki.

Basuki juga dibicarakan atas tuduhan menghina agama dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah. Dia kemudian dihukum penjara dua tahun.

Tokoh yang popular itu dibebaskan dari penjara 24 Jan lalu, manakala Ahmad Dhani dihantar ke Penjara Cipinang untuk memulakan hukuman selama 18 bulan, semalam.

Cabar keputusan hakim

Sementara itu, tambah Hendarsam, dengan perkembangan berkenaan, pihaknya akan mencabar keputusan hakim Mahkamah Jakarta Selatan, Ratmoho.

“Kami merancang untuk memfailkan rayuan esok (hari ini),” katanya melalui mesej pesanan ringkas kepada Malaysiakini malam tadi.

Ditanya mengenai keadaan penyanyi Laskar Cinta itu sekarang, Hendarsam menjawab: “Baik-baik saja. Fizikal dan mentalnya baik."

Dalam penghakimannya, Ratmoho menyatakan Ahmad Dhani terbukti menimbulkan kebencian terhadap suatu golongan dengan menyuruh melakukan, menyebarkan informasi atas golongan berdasarkan suku, agama dan ras melalui ciapan di akaun Twitter @AHMADDHANIPRAST.

Sementara itu CNN melaporkan Hendarsam sebagai berkata keputusan semalam menunjukkan ada dua "mangsa" daripada "pembalasan dendam" berkenaan.

“Yang menjadi mangsa ialah Ahok di satu pihak, dan Ahmad Dhani di pihak sini,” katanya.

Ahmad Dhani sepatutnya hadir ke Malaysia untuk menjayakan Konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia pada 2 Feb ini.

Bagaimanapun, dengan penghakiman semalam dia tidak dapat berbuat demikian, namun penganjur akan tetap melangsungkan konsert tersebut seperti dijadualkan.

Tanpa Ahmad Dhani, konsert tersebut akan dimeriahkan dengan dua vokalis yang pernah bersama Dewa 19, iaitu Ari Lasso dan Once Mekel.

Namun Hendarsam menyatakan, peminat Dewa 19 - yang digelar mereka sebagai Baladewa - tidak akan kecewa.

“Ahmad Dhani tidak akan hadir ke Malaysia, tapi akan ada kejutan istimewa kiriman daripada Ahmad Dhani buat Baladewa di konsert itu nanti,” katanya.

Lihat Komen