malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Walau Ahmad Dhani dijel, konsert di Shah Alam jalan terus
Diterbitkan:  Jan 28, 2019 8:22 PM
Dikemaskini: 12:26 PM
ADS

Biarpun tulang belakang Dewa 19 terkurung dalam penjara mulai hari ini, konsert kumpulan muzik dari Indonesia itu di Shah Alam pada 2 Feb ini akan diteruskan seperti dirancang.

Penganjur dari Nizra Production, Nik Iruwan, berkata tiada sebarang penundaan atau pembatalan berlaku seperti yang disebut-sebut segelintir pihak.

“Bagi pihak Nizra Production, kami ingin memaklumkan bahawa Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel di Stadium Malawati Shah Alam pada 2 Febuari ini akan diteruskan.

“Tiada sebarang penundaan atau pembatalan konsert berlaku seperti yang digembar-gemburkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Petang tadi sebuah mahkamah di Jakarta menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Ahmad Dhani selepas disabitkan kesalahan menghasut dan menyebar kebencian pada 2017.

Ahmad Dhani berbuat demikian melalui mesej dihantar kepada pengendali akaun Twitternya ketika kempen pemilihan gabenor Jakarta sedang berlangsung.

Penyanyi lagu Pupus itu menujukan ciapan itu kepada bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang baru saja dibebaskan dari penjara beberapa hari lalu.

Pada masa sama, Nik Iruwan berkata, peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu bimbang mengenai nasib yang menimpa konsert berkenaan.

“Kami berharap peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu risau kerana konsert tersebut akan tetap berlangsung.

"Dewa 19 akan terus memberikan persembahan terbaik buat semua,” tegas Nik.

Lihat Komen