malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Dhani dihantar hakim ke penjara
Diterbitkan:  Jan 28, 2019 6:26 PM
Dikemaskini: 12:57 PM
ADS

Penyanyi Indonesia, Ahmad Dhani Prasetyo dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah menyebarkan kata-kata kebencian di media sosial.

Hakim Mahkamah Jakarta Selatan, Ratmoho, dalam keputusannya berkata, pengasas kumpulan Dewa 19 itu terbukti menimbulkan kebencian terhadap suatu golongan.

Katanya, Ahmad Dhani menyuruh, melakukan dan menyebarkan perkara kebencian berkaitan sesuatu golongan berdasarkan suku, agama dan ras semasa menciap melalui akaun Twitter @AHMADDHANIPRAST.

Menurut hakim itu lagi lagi, penyanyi lagu Separuh Nafas itu terbukti bersalah dengan sengaja dan tanpa hak menyebarkan maklumat untuk menimbulkan rasa kebencian dalam masyarakat.

“Dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun enam bulan danmemerintahkan agar yang didakwa ditahan,” katanya seperti dipetik CNN petang ini.

Untuk rekod keputusan itu mungkin mengecewakan pihak pendakwaan kerana asalnya mereka memohon agar Ahmad Dhani dipenjara selama dua tahun.

Menjelaskan keputusan berkenaan Ratmoho berkata, hukuman ke atas Ahmad Dhani diringankan atas beberapa sebab. Antaranya, kerana dia tidak pernah dihukum.

“Tertuduh juga berkelakuan baik selama dibicarakan,” katanya.


Baca Konsert Dewa 19 Reunion di Malaysia jadi tanda tanya


Ahmad Dhani dijadual membuat persembahan Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia pada 2 Feb ini. 

Selain Ahmad Dhani, vokalis, Arri Lasso dan Once Mekel yang pernah mewarnai era kegemilangan band itu sejak ia ditubuhkan juga dijangka hadir ke negara ini bagi memeriahkan suasana.

Untuk rekod ciapan yang dibuat Ahmad Dhani itu berlaku ketika proses pemilihan gabenor Jakarta sedang hangat di Indonesia.

Antara lain Ahmad Dhani menulis: "Yang menistakan agama (ialah) si Ahok... Yang diadili KH Ma'ruf Amin..."

Ahok merujuk kepada bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, yang baru saja dibebaskan dari penjara beberapa hari lalu.

pada 6 Mac 2017 pula Ahmad Dhani menghantar ciapan kepada pengendali akaun Twitternya dengan kata-kata: “Siapa saja mendukung (menyokong) penista agama adalah bajingan yang perlu diludahi mukanya.”

Lihat Komen