malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
PAS tak sekat seni budaya asal tak melampau
Diterbitkan:  Jan 26, 2019 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM
ADS

PAS tidak menghalang kegiatan seni dan kebudayaan diteruskan di negeri ditadbir parti berkenaan selagi ia mengikut garis panduan ditetapkan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata langkah itu bagi memastikan kesinambungan budaya dan warisan terpelihara kerana ia juga mempunyai unsur positif dalam kalangan rakyat.

Berdasarkan garis panduan itu, beliau berkata terdapat beberapa perkara perlu dipatuhi seperti ditetapkan dalam dasar diluluskan kerajaan negeri termasuk di Kelantan yang turut membenarkan aktiviti seni Dikir Barat diteruskan.

"Pertama, kesenian itu tidak boleh melekakan, tidak melalaikan dan tiada faedah termasuk tiada pergaulan bebas yang memberikan kesan negatif.

"Dari aspek pakaian pula, mestilah menutup aurat mengikut bangsa masing-masing, namun saya percaya adat kaum Cina dan India juga membudayakan perkara yang baik dan berakhlak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Seni dan Hiburan Menurut Islam di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu hari ini.

Abdul Hadi berkata PAS juga tidak menyekat kaum bukan Islam mengamalkan seni dan budaya mereka namun mengekalkan ciri keasliannya dan tidak bercampur dengan budaya barat yang negatif.

"Mereka tidak terikat dengan garis panduan ditetapkan malah kita mengiktiraf budaya mereka yang bermoral dan berakhlak," katanya.

Selain itu, Abdul Hadi berkata segala bentuk kesenian tradisional seperti Gamelan, Ulek Mayang, Dikir Barat dan Wayang Kulit turut dibenar untuk diteruskan, namun mestilah menghindari perkara negatif seperti pemujaan dan tahyul.

- Bernama

Lihat Komen